Mabuk Cinta Halal

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Saturday, July 18, 2009

Belasungkawa

"Assalamualaikum. Ustaz Awg Pon telah kembali ke rahmatullah. Innalillah....Al-Fatihah." Mesej dari Sham pada maghrib semalam megejutkan saya. Saya baca berulangkali untuk memastikannya. Sejurus mesej dari beberapa sahabiyah lain masuk mengkhabarkan berita yang sama. Saya dan sahabat berkongsi kesedihan atas pemergiannya tapi akur bahawa tiap-tiap yang bernyawa pasti kembali pada-Nya.

Ustaz Awang Pon saya kenali sejak menuntut di UNIMAS dan aktif dalam PERKEPIS. Yang tutur kata nya lembut menyejuk jiwa. Rendah dirinya meski pada yang lebih muda. Yang tidak putus bertanya khabar. Yang tidak jemu mencurah ilmu dan hikmah dalam menyampai nasihat. Yang sifat kasih sayang nya terjelma dalam setiap tindakannya. Sungguh, kebaikan sedemikian hanya mampu lahir dari jiwanya yang bersih.

Kali terakhir saya bertemu beliau beberapa hari selepas pemergian arwah ayah saya awal bulan April 2008. Beliau yang rendah hati menghadiri majlis tahlil arwah ayah saya bersama isterinya Auntie Husna. Meski kesihatannya juga kurang baik, beliau memandu sendiri dalam kepayahan mencari rumah saya. Begitulah dia menghargai orang lain tanpa mengira siapa.

Kali terakhir saya berbual dengan beliau pula dua bulan lepas melalui panggilan telefon saya untuk bertanya khabarnya. Ketika itu beliau berada di rumah anaknya Syifa' untuk menjalani rawatan. Suaranya seperti biasa dan perbualan kami saya singkatkan lantaran tidak mahu mengganggu rehatnya.

Terkilan kerana tidak sempat bertemunya di saat-saat kesakitannya. Besar jasanya dalam penyebaran dakwah di Sarawak. Semoga Allah menempatkannya di kalangan orang yang dicintai-Nya, dibalas dengan kebaikan yang berpanjangan, dan dimasukkan ke syurga-Nya. Amin...

Friday, July 10, 2009

Kenapa Beralasan?

Ada orang berusaha sehabis daya, tenaga, masa, jua harta cuba mencapai apa yang dicita. Ada orang pula mencipta pelbagai alasan untuk ‘lari’ dari tanggungjawab dan tuntutan. Betullah kata pepatah: HENDAK SERIBU DAYA, TAK HENDAK SERIBU DALIH. Yang menariknya orang yang berusaha bersungguh-sungguh itu, selalu nya meraih kebahagiaan. Orang yang sering beralasan dari tanggungjawab pula sering diburu resah dan dosa.

* * * * *

HENDAK SERIBU DAYA, MAHU SERIBU CARA:

Ketika balik dari ‘review’ pesakit di ward sekitar waktu maghrib suatu hari, mata saya menangkap kelibat sesuatu bergerak-gerak di hadapan pintu Dewan Bedah. Setelah saya amati, rupa-rupanya seorang lelaki sedang bangkit dari pergerakan rukuk nya lantas iktidal dan bersujud. Teringat pula surau yang ditutup kebelakangan ini kerana bangunan yang menempatkan surau dikuarantin untuk ‘standby’ kes H1N1.

Teringat pula seorang pakcik yang menghamparkan kain di sisi katilnya untuk alas tempat solatnya ketika sedang dirawat di hospital untuk sakit asma yang teruk. Walaupun terpaksa berkongsi ruang yang sempit ditambah pula keadaan yang tidak sihat, beliau masih mampu mengerjakan solat berdiri.

Seorang pakcik yang telah lumpuh kedua kakinya akibat kecederaan tulang belakang lebih sepuluh tahun lepas telah dimasukkan ke wad kerana disyaki menghidap peritonitis. Dalam sakit dan lumpuhnya, sempat juga beliau menunaikan solat zuhur di atas kerusi rodanya dengan bantuan ahli keluarganya.

Subhanallah, alhamdulillah…bisik saya di dalam hati. Terdetik rasa kagum dan syukur pada hamba-hamba Allah tersebut yang tetap istiqomah menyembah-Nya walau di mana.

TAK HENDAK SERIBU DALIH:

“Saya tak dapat solat sebab badan saya kotor, najis…” alasan seorang hamba Allah apabila diajak solat subuh sekali ketika singgah dalam perjalanan.

“Susah lah nak pakai mekap balik kalau muka dah basah kena air wudhu’,” ujar seorang wanita memberi alasan kenapa tidak solat zuhur semasa rehat tengahari di pejabatnya.

“Tak ada tempat solat di tempat kerja saya, macam mana nak solat?” ujar seorang lagi.

“Saya sibuk sangat hari ni, tak sempat nak sembahyang!” kata seorang pula.

“Saya tak ada telekung, tak dapatlah solat,” ujar seorang wanita.

“Saya nak solat, tapi hati saya belum terbuka,” ujar seseorang yang entah bila hatinya akan terbuka.

* * * * *

Benarlah firman Allah: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu`.” (Surah Al-Baqorah: Ayat 45)

Maha Suci Allah, dengan tuntutan wajibnya solat, Allah memberi rukhsoh atau keringanan bagi hamba-Nya dalam melaksanakannya. Ada rukhsoh ketika sakit, di mana dibenarkan solat mengikut kadar kemampuan; jika tidak mampu berdiri tegak, boleh saja solat duduk ataupun baring, mengikut isyarat mata, malah hati sekalipun. Ada rukhsoh ketika perang yang dinamakan solat khauf. Ada juga rukhsoh ketika musafir dan keadaan tertentu, di mana dibenarkan jama’ juga qosar.

Solat pula tidak terhad tempatnya di masjid atau musolla. Boleh saja solat di dalam kenderaan jika keadaan mendesak, boleh saja solat di tanah lapang beralaskan rumput yang bersih, dan tak salah jika solat di tepi jalan. Juga tidak semestinya memakai telekung atau ketayap atau beralas sejadah baru bisa solat, cukuplah dengan pakaian menutup aurat dan di tempat bersih, boleh saja kita bersolat. Juga tidak perlu masa yang lama hingga sejam dua untuk solat, jika terlalu sibuk sekalipun, lima ke sepuluh minit juga sempat solat.

Hanya satu yang tidak dibenarkan; TIDAK SOLAT!

Maka kenapa kita masih beralasan? Apakah kita lebih uzur berbanding seorang tua yang lumpuh, lebih sibuk daripada seorang Nabi yang membawa risalah agama, dan mekap di muka lebih penting dari melaksanakan perintah Allah?

Tepuk dada, tanyalah iman...

“Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” (Surah Huud: Ayat 114)

Wednesday, July 08, 2009

PPSMI dimansuhkan mulai 2012

malaysiakini.com

8 July 2009, kemaskini 5.05pm

Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, demikian diumumkan menteri pelajaran.

Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berkata di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar dua matapelajaran itu.

Sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing, tambahnya.

Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing pada 2014.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.

Dalam sidang media khas di Putrajaya, Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi kementeriannya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran bahasa Inggeris.

"Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai PPSMI sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003," katanya.

Muhyiddin menyebut beberapa kelemahan besar dalam PPSMI yang mendesak kerajaan mengembalikan dasar bahasa pengantar untuk pengajaran dua subjek teknikal itu.

Rentetan pelaksanaan PPSMI

Julai 2002 - Mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - Dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - Lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Ia didukung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara."

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.

Sunday, July 05, 2009

Carilah Redha Tuhan

Muhasabahku dalam meniti hidup yang penuh warna:

Tidak semua manusia akan berpuas hati dengan keputusan mahupun tindakan kita. Apa yang kita lakukan, di hadapan atau di belakang kita kadang-kadang akan menerima kritikan orang lain. Jika tindakan kita benar atau haq, manusia yang anti kepada kebenaran akan mengkritik kita. Apatah lagi jika tindakan kita batil, tentulah lebih ramai yang membencinya.

Orang yang memegang jawatan teratas sering dikritik. Ada suara-suara yang mempertikaikan keputusan; dianggap tidak adil, berat sebelah, tidak bertimbang rasa. Bila kita cuba menyenangkan hati suatu pihak, ada pihak lain pula yang akan marah. Ada kalanya kita menegur kesalahan dengan niat untuk memperbaiki keadaan, tetapi dianggap pula menunjuk pandai dan cerewet lantaran sikap sesetengah pihak yang tidak mahu menerima teguran.

Apa pun kritikan orang pada kita, janganlah cepat melatah, malah jadikanlah ia sebagai muhasabah diri. Mungkin ada tindakan kita yang menzalimi orang lain juga kurang tepat di sisi syara’, maka perbaikilah dan cerahilah.

Jika orang mengkritik kita padahal urusan kita telah dilaksanakan sebaiknya, bersabarlah dan berlapang dada. Beserahlah segalanya pada Allah, moga-moga kita dijauhi dari kezaliman dan dibukakan hati mereka yang mengkritik itu untuk menerima kebenaran.

Kata Imam Syafie: “Sampai bila-bila pun kita tidak mampu dan akan mencapai kesemua redha manusia.”

Maka berbuatlah sesuatu hanya kerana Allah, kerana jika kita melakukan sesuatu semata-mata kerana-Nya, kita akan melakukan pekerjaan kita dengan sebaik-baiknya dan terlepas dari belenggu resah mencari redha manusia.

CARILAH REDHA TUHAN

Carilah redha Tuhan, kita tidak akan kecewa
Carilah redha Tuhan, kelak kita akan tenang
Jangan cari redha manusia, kita akan kecewa
Suka manusia kepada kita bukan berpanjangan
Adakala dia suka kepada kita, sukanya pura-pura
Suatu hari nanti akan nyata juga
Adakalanya redhanya kepada kita, di waktu kita senang
Setelah kita susah, kita dibuang dan ditendang
Janganlah membuat sesuatu kerana keredhaan manusia
Kerana manusia ramai yang tidak mengenang jasa

Buatlah sesuatu untuk keredhaan Tuhan
Manusia suka atau benci tak usah dipedulikan
Yang penting kita buat itu Tuhan suka
Yang penting usaha kita itu Tuhan redha
Dengan manusia tak usah ambil kira
Manusia hendak puji atau manusia hendak caci itu soal dia
Yang penting apa kata Tuhan
Keredhaan Tuhan itu penting
Redha-nya adalah balasan
Balasan-nya adalah berkekalan

Monday, June 15, 2009

Pengguguran

“Makcik, saya terpaksa mengesahkan anak makcik tidak layak mengikuti pengajian di IPT bagi pemeriksaan kesihatan ini kerana dia mengandung,” saya memulakan bicara brhati-hati selepas bertanya sedikit sejarah calon. Calon tersebut ditemani oleh ibunya yang lengkap bertudung. Sebelumnya saya telah dimaklumkan tentang kes tersebut oleh Pembantu Perubatan lantas saya membuat panggilan ke Bahagian Hal Ehal Pelajar IPT berkenaan. Setelah bercakap dengan pegawai bertugas, saya dimaklumkan bahawa calon yang mengandung tidak dibenarkan mendaftar pengajian kerana dibimbangi mengganggu pelajaran.

“Tapi doktor, anak saya memang nak sangat sambung belajar. Biar lah saya ikhtiar cara lain dahulu sebelum dia mendaftar,” rayu makcik tersebut. Saya memahami kekecewaannya bila mendapat tahu si anak yang dijaga bagai menatang minyak yang penuh tiba-tiba hamil di luar nikah.

“Ikhtiar macam mana maksud makcik?” saya bertanya mendapatkan kepastian.

“Makcik dah belanja banyak untuk bayar yuran anak makcik. Biarlah makcik ikhtiar cara lain dulu doktor…” wanita yang saya kira sebaya ibu saya itu merayu lagi.

“Ikhtiar macam mana makcik? Nak gugurkan kandungan?” saya merasakan suara saya mula berubah bila melemparkan soalan ini.

“Ya doktor…” balasnya perlahan. Menyirap darah saya mendengar jawapannya lalu pantas saya menjawab, “Makcik tahu tak berdosa menggugurkan kandungan? Dah lah berdosa, salah pulak dari segi undang-undang.”

Apakah Pengguguran?

Pengguguran (bahasa Inggeris: abortion) merupakan penyingkiran atau pengeluaran embrio atau fetus dari uterus ibu , dan mengakibatkan kematian embrio atau fetus itu.

Berikut merupakan istilah-istilah perubatan untuk mengkategorikan pengguguran:

• Pengguguran spontan (keguguran): Kematian atau penyingkiran bayi dari rahim akibat trauma tak sengaja atau sebab semula jadi. Keguguran sebagini boleh disebabkan replikasi kromosom tidak betul, atau faktor persekitaran lain.

• Pengguguran aruhan Pematian atau penyingkiran bayi dari rahim yang dilakukan dengan sengaja oleh manusia sendiri. Pengguguran seperti ini boleh dikategorikan kepada:
o Pengguguran terapeutik: Pengguguran yang dilakukan bagi:
 Menyelamatkan nyawa wanita yang hamil
 Memelihara kesihatan fizikal atau mental wanita
 Menghentikan kehamilan yang akan melahirkan bayi yang mempunyai gangguan kongenital yang membawa maut atau keadaan tak sihat yang teruk
 Mengurangkan jumlah fetus secara berpilih, untuk mengurangkan risiko kesihatan yang berkaitan dengan kehamilan berganda.

o Pengguguran elektif: Pengguguran untuk sebab-sebab lain.
Perkataan "pengguguran" sendiri selalunya dikaitkan dengan pengguguran aruhan.

Apakah Hukum Menggugurkan Kandungan?

Hukum Menggugurkan Janin dalam keadaannya yang berbeza :

1. JANIN mengidap Penyakit yang ringan (tidak mengakibatkan kematian) yang boleh diubati.
Hukumnya : HARAM sebelum 4 bulan dan selepas

2. JANIN mengidap kecacatan ringan yang tidak boleh diubati tetapi ia boleh hidup. Seperti Buta, Cacat sebelah tangan, atau kedua-duanya, cata kaki, kurang jari dan sebagainya .
Hukumnya : HARAM jika umur janin melebihi 4 bulan, HARUS kiranya umur bayi di bawah 4 bulan.

3. JANIN mengidap Kecacatan yang Serius yang membawa kematian . seperti tiada kepala, tiada paru2 dan sebagainya
Hukumnya : Biasanya janin akan gugur dengan sendirinya. Tiada hukum.

4. JANIN mengalami kecacatan anggota yang membawa akan membawa kematian sejurus selepas dilahirkan.
Hukumnya : Terdapat perbezaan pandangan ulama':
a) HARUS sebelum 4 bulan, Haram selepas 4 Bulan.
b) HARUS walaupun selepas 4 bulan, dengan syarat, Keyakinan tinggi hasil analisa Doktor2 pakar.

5. JANIN menghidapi penyakit AIDS.
Hukumnya : HARUS sebelum 4 bulan , Haram selepas 4 Bulan.

6. JANIN yang terhasil akibat dirogol
Hukumnya : HARUS digugurkan hanya sebelum 4 Bulan.

7. JANIN yang sihat @ sakit @ cacat tetapi nyawa Ibu terancam kiranya janin dilahirkan.
Hukumnya : HARUS gugur janin samada sebelum atau selepas 4 bulan, kerana nyawa Ibu diutamakan dalam hal ini.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan janganlah kamu membunuh nyawa manusia yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang benar (di sisi syarak)." (Surah Al-An'am : 151)

Pengguguran Dari Aspek Undang-undang:

“Kanun Keseksaan” seksyen 312 di bawah tajuk “menyebabkan keguguran” menyatakan bahawa “barang siapa dengan sengaja menyebabkan seseorang perempuan yang hamil gugur hendaklah jika keguguran itu tidak disebabkan dengan suci hati bagi maksud menyelamatkan nyawa perempuan itu diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya, dan jika perempuan itu mengandung anak yang telah bersifat, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, dan bolehlah juga dikenakan denda.”

“Tapi doktor…anak saya memang nak sangat sambung belajar…lagi pun yuran semua dah dibayar,” rayu nya lagi. Apa yang boleh saya buat pada rayuannya?

“Makcik, yuran tu, makcik boleh uruskan dengan pihak IPT, minta penangguhan dulu. Bila anak makcik dah bersalin nanti, bolehlah dia belajar semula,” saya memberi cadangan.

“Jangan sesekali digugurkan bayi tu makcik. Kalaupun masalah selesai untuk jangka masa pendek, tapi dosa dan penyesalannya seumur hidup. Apa yang telah berlaku semuanya takdir, jangan bertindak tidak betul. Kalaupun tak takut dengan undang-undang, takutlah dengan Allah. Kalau tak takut juga dengan Allah, terpulang lah pada makcik,” saya membalas dengan suara bergetar, jawapan yang agak keras saya rasakan.

Saya menyudahkan mengisi borang pemeriksaan kesihatan itu dengan hati penuh kekesalan jua tak sudah mendoakan agar mereka tidak meneruskan niat yang kejam itu.

Bukan sekali saya bertemu pelajar beragama Islam yang hamil di luar nikah, tetapi baru pertama kali terang-terangan saya diberitahu bahawa mereka ingin menggugurkan kandungan. Minggu sebelumnya saya merawat beberapa pesakit lelaki bujang yang dijangkiti penyakit kelamin akibat melanggan pelacur. Sedihnya memikirkan pada usia seawal 19 tahun mereka telah melakukan zina. Apalah yang harus saya nasihati selain mengingatkan mereka kesan buruk seks rambang dari segi kesihatan juga diselitkan sedikit nasihat agama selain mengalakkan mereka agar mendirikan perkahwinan.

Terfikir juga andaikata hukum hudud dilaksanakan, pasti ramai yang disebat dan direjam sampai mati atas dosa zina mereka. Tetapi, siapa lah saya untuk menghukum.

“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (Surah Al-Israa’: Ayat 32)

Teman-teman, apakah peranan kita?

Sumber:
http://www.e-fatwa.gov.my

http://ms.wikipedia.org/wiki/Pengguguran

http://islamictazkirah.blogspot.com/2009/05/hukum-menggugurkan-janin.html

Sunday, June 14, 2009

Merinduinya

Sentiasa di hatiku, satu nama, satu wajah yang besar jasa jua kasihnya hingga mampu ku berdiri di tempatku kini. Beliau telah pergi dan pemergiannya melukakan, tapi doa jua ingatanku tetap berterusan. Moga redha Allah menemaninya di sana. Selamat Hari Bapa buat beliau sentiasa selamanya.

Al-Fadhil Ustaz Dr. Fathi Yakan Wafat

www.ikhwan-jor.com mengkhabarkan berita yang cukup meruntun jiwa, pulangnya Dr. Fathi Yakan ke pangkuan Allah Taala pada awal hari ini. Beliau meninggal pada usia 76 tahun lantaran sakit.

Berita ini diterima selepas zuhur tadi yang juga disiarkan di aljazeera.net, qudspress.com dan lain-lain. Beritanya adalah seperti berikut:

Pada pagi sabtu, Dr Fathi Yakan telah meninggal dunia di hospital di Lubnan setelah dimasukkan ke hospital beberapa hari yang lepas kerana menghadapi masalah kesihatan yang teruk. Beliau telah menghembuskan nafasnya terakhir ketika mencapai umur 76 tahun di hospital.

Pihak hospital telah menyatakan bahawa beliau terkena serangan angin ahmar pada otaknya sehingga menyebabkan beliau telah mati klinikal (clinical death). Namun pihak perubatan dan pihak keluarga enggan mencabut alat bantuan hayat dari tubuh beliau.

Siapa yang tidak kenal Dr. Fathi Yakan. Kitab karangannya yang terkenal Apa Erti Saya Menganut Islam (atau lebih terkenal dengan panggilan 'Maza Yakni') menjadi rujukan kebanyakan kumpulan usrah pelbagai wadah.

Kini beliau sudah pergi meninggalkan kita. Permata dakwah ini sudah tiada. Moga-moga akan lahir lebih ramai tokoh dakwah sehebat Dr Fathi Yakan. Ulama agung yang mampu menjulang martabat Islam setinggi-tingginya.

Profil Dr Fathi Yakan

Dr Fathi Yakan ialah ulama dan pendakwah Islam yang terkemuka. Beliau dilahirkan di Tarablas pada tahun 1933 dan telah mendapat ijazah kedoktoran dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab. Beliau telah terlibat dengan kerja-kerja Islam sejak tahun 50an dan telah menubuhkan Jamaah Islam pada awal 60an. Beliau telah menjawat ketua umum di dalam Jamaah Islam sehinggalah pada tahun 1992.

Pada tahun tersebut beliau telah bertanding dan telah memenangi kerusi parlimen. Beliau kekal sehinggalah pada tahun 1996. Di tahun-tahun kebelakangan ini beliau telah mengetuai jabhah Islami. Beliau telah mengambil peranan penting untuk menghentikan peperangan Mukhayyam Narul Barid di utara Lubnan diantara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pd tahun 2007.

Beliau telah banyak mengarang buku di antaranya Maza Ya'ni Intiami lil Islam, al-Mutasiqituna Fala Toriq Da'wah, Kaifu Nadwu lil Islam dan lain-lain yang melebihi 35 buah buku.

(Disalin daripada tamanulama.blogspot.com)

Saturday, June 06, 2009

RAPUH

Tuhan, betapa aku merasakan rapuhnya diriku: Rapuh imanku ditunduk nafsuku, rapuh akhlakku dicalar amarahku, rapuh ibadahku disibukkan duniaku. Betapa aku merasakan terlalu jauh langkahku tersasar dari-Mu, hingga jarang aku merasa lazat ibadahku. Sungguh telah terhijab hatiku dari cinta-Mu, hingga tidak ku rasa berdosa melanggar perintah-Mu. Begitu kotornya akan jiwaku, hingga terlalai dalam urusan duniawiku.

Tuhan, alangkah maha besar kasih sayang-Mu, terusan menyapa dengan hidayah-Mu sedangkan aku penuh berdosa melupakan-Mu. Sungguh terlalu hebat kasih sayang-Mu terusan mendetikkan insaf dalam hatiku, sedangkan aku sering ‘berlari’ menjauhi-Mu. Begitu luasnya pengampunan-Mu mengatasi murka-Mu, sedangkan aku begitu sombong menghamparkan dosaku.

Tuhan, Kau bahkan lebih tahu bahawa aku berbuat dosa bukanlah kerana mencabar kekuasaan-Mu, bukan pula kerana ingin menentang kehebatan-Mu, tetapi kerana kelemahanku melawan pengaruh hawa nafsuku. Maka Kau hulurkanlah tirai-Mu menutupi keaibanku, dan ampunilah dosa-dosaku Ya Tuhan.

Tuhan, Kau pandulah langkahku agar tak tersasar dari jalan-Mu. Kau suluhlah jalanku agar terang hatiku menuju cinta-Mu. Kau pimpinlah, tunjukilah serta berikan taufiq padaku untuk selalu mengharapkan-Mu, menjadikan-Mu tujuanku, meletakkan-Mu sebagai harapanku dan menjadikan redha-Mu matlamatku.

RAPUH (OPICK)

Detik waktu terus berjalan
Berhias gelap dan terang
Suka dan duka tangis dan tawa
Tergores bagai lukisan

Seribu mimpi berjuta sepi
Hadir bagai teman sejati
Di antara lelahnya jiwa
Dalam resah dan air mata
Kupersembahkan kepadaMu
Yang terindah dalam hidup

Meski ku rapuh dalam langkah
Kadang tak setia kepadaMu
Namun cinta dalam jiwa
Hanyalah padaMu

Maafkanlah bila hati
Tak sempurna mencintaiMu
Dalam dadaku harap hanya
DiriMu yang bertahta

Detik waktu terus berlalu
Semua berakhir padaMu

Friday, May 29, 2009

Solat Boleh Rawat Penyakit Krikital

SEMBAHYANG JUGA BOLEH MERAWAT PENYAKIT KRITIKAL

Oleh Ziauddin Sharuddin

zia@bharian.com.my

Prof Dr Wan Abu Bakar (kanan) bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains.

HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Berita Minggu mendapatkan pandangan setiap pengkaji mengenai hasil kajian masing-masing.

Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan.

Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya.
Dr Fatimah meneliti kertas bacaan ujian yang keluar dari alat analisis penyepadanan bio.

Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.

Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.

Ng Siew Chok - Isyarat Otak

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

“Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

“Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

“Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

“Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya.

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

“Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.

Thursday, May 28, 2009

SAKIT dan KITA

“Saya, kalau jatuh sakit memang akan sakit teruk sangat sampai tak boleh bangun. Sebab tu agaknya Allah jarang sekali beri saya sakit,” teman saya bercerita. “Tapi kalau jarang-jarang sakit susah jugak kan, takut tanda kurang perhatian Allah pada kita,” tambahnya lagi. “Orang perempuan macam kami untung, tiap-tiap bulan ada ‘sakit’,” saya menjawab dalam gurauan sambil tersenyum. Teman saya tergelak mendengarnya. “Ya, untunglah kamu orang perempuan,” balasnya tersengih.

Saya dan sakit begitu sinonim, bukannya kerana saya sering sakit, tetapi kerana sering berjumpa orang-orang yang sakit. Saya kalau boleh, tidak mahu sakit kerana saya ingin sihat agar dapat bertugas merawat pesakit penuh efisien. Tetapi saya takut jika tidak sakit bermakna tiada jalan untuk saya membersih diri yang dipalit dosa. Jadi sekali sekala sakit kecil yang menimpa, terasa lapang di dada, syukur kerana tidak diuji yang lebih berat lagi dan lega kerana yakin akan janji ampunan-Nya.

Setiap hari saya mendepani berpuluh-puluh kadang-kadang hingga beratus orang yang sakit. Sakit yang berpunca dari pelbagai sebab dan dirawat dengan pelbagai rawatan yang berbeza. Ada yang sakitnya terzahir di luaran, namun ramai juga yang terpendam tetapi merosak di dalam. Ada sakit yang sembuh dengan sedikit rawatan (dengan izin Tuhan), ada pula sakit yang meragut nyawa walaupun pelbagai rawatan diusahakan.

Semuanya sunnah Tuhan! Sakit menjadi nikmat juga azab.

Di dunia ini, siapa yang tidak pernah sakit? Maha Suci Allah yang menciptakan kesakitan. Dengan sakit, kita mengenal erti bahaya dan dengan itu berusaha mengelakkannya. Dengan sakit, kita mengenal erti sihat dan berusaha mengekalkannya. Dengan sakit, kita faham akan nikmat kesejahteraan serta belajar mensyukurinya. Jika tiada sakit, tiadalah pekerjaan untuk para tabib (seperti saya) dan penjual ubat.

Bercakap tentang sakit, setiap orang punya tahap kesakitan yang berbeza. Ini yang dipanggil ‘pain threshold’ atau dengan kata lain tahap mana seseorang boleh bersabar menahan kesakitan. Orang yang berlainan mungkin melalui pengalaman yang sama tetapi merasai kesakitan berbeza. Saya suka menjadikan sakit bersalin sebagai contoh; pengalaman nya sama iaitu, proses melahirkan anak tetapi reaksinya pelbagai - ada yang menjerit dan menangis kerana kesakitan, tetapi ada yang tenang sahaja ketika melaluinya. Maha Suci Tuhan yang mencipta manusia penuh variasi.

“Senang-senang sahaja kita memaksa pesakit bersabar dan tidak mengeluh ketika sakit kan. Padahal jika kita yang sakit macam mana agaknya,” bual saya bersama seorang jururawat suatu hari. “Betul tu, kalau pesakit menjerit, kadang-kadang kita marah mendengarnya, entah-entah lebih teruk keadaan kita kalau kesakitan,” sambut nya.

Bagaimana kita mendepani kesakitan?

Buat mereka yang sakit:

• Bergembiralah dengan janji-Nya bahawa di balik kesakitan ada pengampunan-Nya.
• Bergembiralah dengan janji-Nya bahawa di balik kesakitan ada ganjaran pahala tanpa batasan jika kita bersabar.
• Bergembiralah dengan janji-Nya bahawa di balik kesakitan ada peningkatan darjat di sisi-Nya jika kita redha.

“Tidaklah seorang muslim tertimpa keletihan, sakit, kebingungan, kesedihan dan kerumitan hidup, atau bahkan tertusuk duri, kecuali Allah menghapus dosa-dosanya. (HR. Muttafaq Alaih).

Buat mereka yang berdekatan dengan insan-insan yang sakit:

• Gembirakanlah hati mereka dengan khabar gembira ganjaran tak ternilai dari-Nya.
• Gembirakanlah hati mereka dengan kata-kata penuh semangat membangkitkan kesembuhan si pesakit.
• Gembirakanlah hati mereka dengan doa tulus memohon kesejahteraan mereka.

"Siapa yang melawat orang sakit bererti dia duduk di taman-taman Syurga, jika dia hendak berdiri, maka ditugaskan tujuh puluh ribu malaikat yang mendoakannya sampai malam hari" (HR. al-Hakim)

“Apabila seorang Islam melawat saudaranya yang sakit, dia sebenar telah melabur buah-buahan syurga sehingga dia kembali” (Hadith Riwayat Muslim)

Jagalah kesihatan sebaiknya melalui pemakanan yang baik, cara hidup yang sihat serta mengelakkan diri dari sumber penyakit serta segala perkara yang membawa kebinasaan. Jangan lupa berdoa memohon pada-Nya agar diri sihat sentiasa. Lafaz doa dalam zikit ma’thurat: Allahumma ‘afini fi badani, allahumma ‘afini fi sam’i, allahumma ‘afini fi basori. (Ya Allah sihatkanlah tubuh badanku, sihatkanlah pendengaranku, dan sihatkanlah penglihatanku).

Namun begitu, jika kita ditimpa sakit tanpa dipinta, bersabarlah dan yakinlah dengan janji dan ganjaran dari-Nya. Percayalah, Dia tidak menciptakan sesuatu pun dengan sia-sia!

Saturday, May 23, 2009

Aku Ingin Hatiku Dilimpahi Kasih Sayang...

Aku ingin hatiku dilimpahi kasih sayang
Agar bisa ku senyum pada setiap insan
Agar lembut bicaraku menyapa rakan taulan
Agar sinar simpatiku berkongsi kesusahan
Agar mudah qalbuku melerai dendam

Aku ingin hatiku dilimpahi kasih sayang
Agar dapat ku rawati insan yang kesakitan
Agar ku sabar selalu menerima pengaduan
Agar mampu ku ringankan pedih yang disandang
Agar sentuhan tanganku menghilang rawan

Aku ingin hatiku dilimpahi kasih sayang
Agar terpadam mazmumah yang terpendam
Agar terlerai kesombongan yang menghinakan
Agar berbunga mahmudah mendamaikan
Agar akhlakku dipancar nur iman

Aku ingin hatiku dilimpahi kasih sayang
Agar musnah rungutan yang membebankan
Agar terhapus dosa yang memberatkan
Agar ikhlas tumbuh subur berkekalan
Agar hatiku dipancar ketenangan

Aku ingin hatiku dilimpahi kasih sayang
Agar diriku disayangi Tuhan
Agar redha-Nya mengiring jalan
Agar jalan ke jannah luas terbentang
Agar tersisih dari nerakan jahannam

Sunday, May 17, 2009

Sampaikan Walau Satu Ayat!

KISAH HARI INI:

Tidak terasa penat memandu dari Betong ke Kuching sambil berbual dengan teman sekerja saya, gadis Tionghua beragama Buddha. Pelbagai perkara yang dibualkan; soal kerja, hal agama, pengalaman, keluarga.

“Kalau sudah bertunang boleh pegang tangan kah?” tanya teman saya tersebut. Saya tersenyum sambil menjawab, “Tak boleh. Bertunang only means that you’ve been ‘booked’ by somebody, but doesn’t mean that you can do the things that only husband and wife can do.”

“Oh…dating can or not, or going shopping together?” tanya nya lagi, penuh rasa ingin tahu. “Dating tak boleh….you can meet your fiancee, but you need somebody to accompany you. Tak boleh berdua-duaan lah…” jelas saya lagi.

Why ah?” tanya nya lagi. “Because Islam is against sex before marriage. So, Islam prevent anything that can lead to sex before marriage. That’s why Islam does not allow berdua-duaan or bersentuh-sentuhan,” saya menjelaskan dengan mudah dan ringkas. Teman saya mengangguk-angguk.

“Bila bertunang belum tentu lagi kamu akan berkahwin dengan tunang kamu. Kalau kamu terjebak dengan sex sebelum kahwin kemudian putus tunang, bukan kah rugi sahaja?” saya melontar persoalan, cuba menggunakan logik untuk bicara soal hikmah peraturan dalam Islam agar lebih mudah teman saya memahaminya. “Yalah, perempuan lah yang lebih rugi...” sambungnya bersetuju.

“Hm…sorry saya nak tanya. Kenapa saya tengok ramai staffnurse muslim yang pegi kerja pakai tudung tapi waktu tak kerja tak pakai tudung?” tanya nya lagi. “Hm…by right tudung is compulsory in Islam, but not all muslim follow what the religion taught. May be they wear the tudung during working because they found it’s easier to use compare to cap. But still tudung is compulsory!” tegas saya.

“Saya tengok tudung ada macam-macam fesyen kan. Ada yang macam kamu pakai. Ada pernah saya tengok orang pakai yang ikat-ikat, fashionable,” komen nya. “By right tudung, besides covering head, needs to cover the neck and chest or breast. And your cloth needs to be loose. By right lah…” saya menjelaskan untuk menambah pemahaman nya. “It does not mean that a person who cover the aurat perfectly is a good person. But for me, I still need to try my best to do what my religion ask me to do,” saya menambah lagi. “Ya..correct…” balasnya.

“Kamu ada pakai jeans kah?” tanya nya setelah terdiam beberapa saat. Mungkin tertanya-tanya kerana sepanjang mengenali saya, tak pernah melihat saya mengenakan jeans. “Saya lama dah tak pakai jeans. Waktu sekolah dulu ada lah…” jawab saya. “Boleh kah pakai jeans?” tanyanya lagi. “Can..as long as not tight...” saya menjawab ringkas, membiar mindanya menafsir lanjut.

“Kalau kat rumah kamu pakai tudung jugak kah?” tanya nya lagi. “If in front of my brother, I didn’t wear but I’ll wear tudung if my brother-in-law is around,” saya menjawab. “The principle is simple. If you’re in front of the person that you can marry you need to cover examples brother-in-law, cousin or any stranger. But in front of the person that you cannot marry like your brother, uncle (meaning you father’s or mother’s brother), nephew (your sister’s or brother’s son) and your father-in-law you don’t have to cover your head. In front of your husband you can wear anything you like,” saya tersenyum sambil menambah.

Banyak lagi persoalan tentang Islam yang dilontarkan teman saya tersebut, cuba saya jelaskan sebaiknya mudah-mudahan dapat membuang kekeliruan dan menjelaskan keindahan Islam.

Mudah-mudahan saya tidak kelu untuk menyampaikan kebenaran walau dengan sepotong ayat!

Saturday, May 16, 2009

GURU....

Buat guru-guruku yang pernah berbakti penuh kasih dan keikhlasan...kerana jasa kalian tegak langkahku di sini. Kerana titipan ilmu kalian aku makin mengenal Tuhan. Kerana dorongan kalian, aku kenal erti berbakti. Semoga ilmu dan kebaikan kalian dibalas-Nya dengan kerahmatan. Buat semua para guru di Malaysia, semoga kalian tetap ikhlas menabur bakti...Selamat Hari Guru!!!

GURU OH GURU (Usman Awang - 1979)

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Saturday, May 09, 2009

Kenapa Saya Mencintai Dia?

Kenapa Saya Mencintai Dia?

Kerana saya diperintahkan Allah dan Rasul untuk mencintainya, mentaatinya serta memuliakannya.

Kerana dia dengan penuh kesabaran mengandungkan saya selama sembilan bulan dan menanggung kesakitan ketika melahirkan saya.

Kerana dia dengan penuh kasih sayang melayani karenah nakal saya serta berusaha memenuhi kehendak saya sejak kecil hingga dewasa.

Kerana dia penuh ketulusan mengubati saya saat saya sakit dan terluka.

Kerana dia amat kuat membawa beg sekolah saya sambil memimpin tangan saya dalam perjalanan ke sekolah.

Kerana dia pada setiap malam sewaktu tidur saya, memukul nyamuk yang berlegar dan hinggap di tubuh saya.

Kerana dia pada setiap kepulangan saya dari sekolah memasakkan saya hidangan yang enak dan menyelerakan.

Kerana dia berkorban diri serta perasaannya demi memastikan saya berjaya dalam kehidupan saya.

Kerana dia sedia berkongsi tawa ria dalam suka saya dan turut mengalirkan air mata dalam duka saya.

Kerana dia selalu setia mendengar pengaduan saya dan menghulurkan penawar terbaik buat kekusutan saya.

Kerana dia dalam setiap doa nya sentiasa mendambakan yang terbaik buat saya.

Kerana dia dengan segala pengorbanan dan air matanya menjadikan saya berdiri di tempat saya kini.

Kerana dia satu-satu nya ibu saya yang mencintai saya.

Kerana tidak mungkin saya bisa mencintainya sepertimana dia mencintai saya.

Kerana tidak terhitung segala jasa, pengorbanan dan kasih sayang nya buat saya.

HAPPY MOTHER'S DAY EVERYDAY!

Sunday, July 19, 2009

La tas'aluni

Sungguh menyentuh hati....subhanallah...