Mabuk Cinta Halal

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Wednesday, December 29, 2010

Sehari Di Hospital

Sehari di hospital, ayat yang agak janggal jika didengari dari saya. Mana kan tidak, saya 'membesar' di hospital, menumpahkan tenaga di sana, bahkan hospital umpama rumah kedua saya. Ia sebahagian dari saya, yang ternyata amat sukar dipisahkan sejak saya juga menjadi sebahagian darinya.

Namun pengalaman saya selama sehari dimasukkan ke hospital kerana kontraksi pra matang pada usia kandungan baru 33 minggu merupakan pengalaman yang berbeza. Lama juga saya berdalih sendiri sebelum mengambil keputusan melakukan pemeriksaan di wad bersalin semalam. Saya 'denial', merasakan bahawa 'i'm fine' tapi didesak oleh rasa prihatin akan keadaan si kecil yang disayangi dalam rahim saya, saya akhirnya mengalah.

Apabila diberitahu bahawa saya terpaksa dimasukkan ke wad untuk 'supression' dan suntikan ubat untuk mematangkan paru-paru bayi, saya ketawa sahaja sambil berdalih, "Perlukah orang yang sihat seperti saya dimasukkan ke wad?"

6 Jam di Wad Bersalin

Saya dimasukkan ke wad bersalin untuk supression dan continuous CTG. Benar, bacaan pada CTG seta TCM menunjukkan ada kontraksi rahim, namun denyutan jantung si kecil nampak ok. Saya sebaliknya merasakan bahawa saya dan bayi di dalam kandungan sangat sihat walaupun pengecutan rahim dapat dirasai namun, tidaklah sesakit mana. Saya diminta mengambil 4 dos ubat untuk menghalang kontraksi. Alhamdulillah, setengah jam selepas tamat dos, pengecutan rahim berkurangan. Saya kemudiannya dipindahkan ke wad materniti untuk pemerhatian.

IM Dexamethasone Yang Menyakitkan

Saya bukanlah 'needle-phobia'. Saya biasa saja jika dicucuk untuk mengambil darah atau diberi vaksin. Tapi suntikan IM Dexamethasone untuk mematangkan paru-paru bayi tersebut rupa-rupanya amatlah menyakitkan daripada suntikan yang saya rasai sebelum ini. Sebelum ini, mudah saja saya memberikan suntikan yang sama kepada pesakit lain, tapi baru kini saya mengalaminya. Mujurlah suntikan tersebut hanya perlu diberi dua kali pada selang masa 12 jam. Jika tidak, pasti saya lari dari hospital.

Solat di Sisi Katil

Saya mengambil keputusan untuk solat di tepi katil sahaja bagi mengelakkan jururawat daripada tercari-cari di mana saya jika saya ke surau di luar dari kawasan wad. Alhamdulillah, ada jururawat prihatin yang memberikan saya sehelai cadar sebagai alas sejadah apabila melihatkan saya solat di lantai hanya beralaskan sejadah. Mungkin rasa prihatin beliau mengenangkan lantai wad yang tidak berapa bersih walaupun disapu dan dicuci kerap kali sehari oleh 'cleaner' hospital. Terima kasih tak terhingga buat mereka, moga Allah memberikan ganjaran kebaikan serta taufiq-Nya atas sifat prihatin tersebut.

Tidur dan Rehat di Hospital

Setelah semalaman tidak tidur di rumah pada malam sebelumnya kerana menahan ketidakselesaan kontraksi, saya mengharapkan rehat yang berkualiti di wad. Rupa-rupanya tidur sebagai pesakit tidaklah semudah tidur sebagai doktor 'oncall' di bilik 'oncall'. Terganggu dengan bunyi bising, dikejutkan beberapa kali untuk pemeriksaan tekanan darah dan jantung bayi, tangisan bayi yang berselang seli, serta perasaan tidak selesa kerana tidur di tempat yang asing, tidak memungkinkan saya untuk berehat sepuasnya. Barulah saya memahami kenapa ada pesakit yang amat sukar untuk dipujuk tinggal di wad walaupun sehari. Makanan hospital juga, tidaklah sesedap makanan yang biasa dimakan di rumah, apatah lagi terpaksa makan sebagai seorang pesakit, pasti amat tidak menyelerakan.

Penghargaan

Saya bersyukur, biarpun dimasukkan ke hospital dalam masa yang singkat, namun keluarga serta rakan-rakan amat prihatin. Terima kasih yang tidak berbelah bagi kepada suami saya, yang tidak jemu berada di sisi serta berulang alik ke rumah dan ke kedai mengambil keperluan serta permintaan saya yang bermacam-macam. Suami juga terpaksa menghadapi 'mak guard' yang menghalang suami saya yang berhajat untuk menjaga saya di wad kerana polisi wad materniti yang tidak membenarkan pelawat (lebih-lebih lagi lelaki) untuk bermalam di wad bersama pesakit untuk keselesaan penghuni wad yang lain, memandangkan saya juga terpaksa berkongsi bilik dengan pesakit lain kerana bilik 'single' tidak berfungsi dengan baik semalam. Akhirnya, saya memujuk suami balik sahaja kerana merasakan tidak wajar saya melanggar polisi hospital hanya untuk kepentingan diri saya.

Juga kepada ibu saya, ibu mertua, bapa mertua yang saya pasti risau mengenangkan anak nya yang terpaksa bermalam di wad serta sentiasa bertanyakan keperluan serta keinginan saya. Juga kepada Kak Long yang susah payah menghantar cendol dan 'tau fu fa' sambil mengendong dan mengheret si kecil Musa dan Safwa. Juga kepada Acik yang melayan hajat kakaknya yang teringin minum air sarsi. Juga kepada Noor yang tolong mendapatkan 'air tawar' daripada Nek Buyot setelah diarahkan oleh Mak. Tidak lupa kepada Angah dan Uda yang prihatin dan mendoakan.

Terima kasih atas rawatan serta nasihat perubatan dari doktor-doktor serta jururawat di Wad Bersalin dan Materniti. Juga kepada rakan sekerja dari kalangan 'Surgeon' dan M.O yang datang melawat dan memberi sokongan dan doa, juga adik-adik houseman yang sudi melawat walaupun sebelumnya pernah saya tegur dan 'bambu' dalam proses mendidik mereka. Keprihatinan kalian amat dihargai.

Saya menghargai pengalaman sehari sebagai pesakit di hospital sebagai pengalaman yang berbeza yang membentuk sebahagian daripada saya, menjadi panduan saya dalam tugas saya sebagai seorang doktor. Pengalaman ini walaupun tidak manis, tapi amat mendidik diri.

Sunday, December 12, 2010

Antara Dua Cinta

Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap baru kan terasa
Bila hilang di dalam genggaman
Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman

Dunia ibarat air laut diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana di padang pasir
Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada ditangkap hilang

Tuhan, leraikanlah dunia yang mendiam di dalam hatiku
Kerana di situ tidakku mampu mengumpul dua cinta
Hanya cinta-Mu ku harap tumbuh
Dibajai bangkai dunia yang ku bunuh...

Friday, November 19, 2010

Setahun Yang Berlalu...

Alhamdulillah, setahun telah berlalu sejak saya dan suami melayari bahtera rumahtangga. Semalam, semasa menghadiri majlis akad nikah sahabat kami, Azrul Jaini dan Siti Nurbaya, saya terimbas saat-saat manis pernikahan kami yang menjadi titik mula Mabuk Cinta Halal kami.

Setahun mungkin tempoh yang masih terlalu mentah, namun banyak yang telah diharungi bersama. Syukur saya tak terhingga kepada Pemilik Segala Cinta yang telah memberikan kebahagian dan limpahan kasih-Nya terhadap kami. Biarpun ada ujian dan duka merintangi perjalanan, namun kasih sayang-Nya tak pernah putus terhadap kami.

Saya mensyukuri suami sebagai teman setia yang selalu berkongsi rasa suka dan duka, yang tak jemu mendengar dan membantu, yang sedia berkorban dan memahami, biarpun saya dalam keterbatasan tenaga dan waktu, tidak mampu menjadi wanita sehebat Aisyah radiyallahuanha di sisi Rasulullah, mahupun seteguh Siti Hajar di sisi Nabi Ibrahim.

Terima kasih tak terhingga buat pemilik cinta saya setelah Allah dan Rasulullah, atas segala-galanya. Atas sudinya menerima saya seadanya, atas setia menghulur tangan walau tanpa diminta, atas sabar dalam menghadapi apapun dugaan bersama. Syukur saya tak terhingga atas kehadiran suami sebagai permata hati, moga cinta kami selamanya diberkati dalam restu dan redha Ilahi.

Untukmu suami, ku titipkan puisi cinta ini...

Kaulah nadi yang dititipkan Ilahi,
Buat memastikan perjuangan ku terus teguh berdiri,
Kaulah cahaya yang dikurniakan-Nya,
Buat menerangi hidupku setiap masa,
Kaulah hadiah berharga dari Yang Esa,
Yang hadirmu membawa bahagia,
Kaulah cintaku belahan jiwa,
Pimpinlah aku hingga ke syurga…

Buat pengantin yang diraikan, moga Allah menyatukan kalian berdua dalam kebaikan. Moga selalu menginsafi bahawa pernikahan bukan sekadar berkongsi suka, namun juga bersatu melalui duka. Pernikahan bukanlah semata jalan yang mudah, namun turut mujahadah mengharung payah. Pernikahan bukan hanya pada menerima kelebihan pasangan, tapi juga pada kesediaan menyantuni jua melengkapi kekurangan.

Sunday, November 14, 2010

Berkorban Demi Cinta

Oh diri, hatimu penuh rasa memiliki. Kau menyangka apa yang Tuhan bekal, adalah hak milik kekal. Tanpa kau sedarkan, ia hanya pinjam-pinjaman. Pantasnya gembira dengan sedikit rezeki, lalu lupa mensyukuri Si Pemberi. Lantas bila yang dipinjam hilang dari tangan, sedihmu bukan kepalang. Kadang-kadang kau tersungkur lalu terus tersasar, kadang-kadang dengan nikmatnya baru kau tersedar siapa dirimu sebenar.

Oh diri, lidahmu berkata cinta pada-Nya, tapi nafsumu merajai jiwa. Mudah saja kau melafaz kecintaan, namun perit benar melakukan pengorbanan. Bukankah kau berjanji hidupmu hanya untuk Dia, maka kau buktikanlah cinta.

Cinta Ibrahim pada Allah diuji dengan anak yang dicintai, tanpa ragu perintah Allah dipenuhi, lantaran cinta pada-Nya tak berbelah bagi. Cinta Ismail pada Dia diuji dengan nyawa, tanpa lengah menyerahkan jiwa, asalkan di sisi-Nya ada redha.

Cinta Rasulullah pada Allah, cinta baginda pada ummah, cinta teragung sepanjang sejarah, kerana cintanya mengharung mehnah, kerana cintanya bermandi darah, kerana cintanya segala diserah.

Ya Allah, kurniakanlah kami hati yang lembut menuruti pengorbanan cinta Rasul dan Anbiya' kami. Jadikanlah dalam hati kami Kau yang paling dicintai, hingga pada apa yang Kau uji, kami tetap memilih-Mu sebagai cinta sejati. Jadikanlah apa yang Kau kurniakan daripada dunia, jika padanya kami letakkan rasa cinta, biarlah ia semakin menambah dekatnya kami, pada cinta-Mu yang hakiki.

Tuesday, October 12, 2010

Terkesan

"Alhamdulillah..." ucapan pertama saya saat melangkah masuk ke ICU pagi semalam. "Finally extubated," ujar saya sambil tersenyum kepada jururawat bertugas menjaga pesakit tersebut. Saya tersenyum penuh syukur melihat perkembangan positif pesakit katil 1 pada pagi itu. Mana tidaknya, setelah 12 hari bertarung nyawa dan bernafas dengan bantuan ventilator akhirnya dia mampu bercakap dan senyum dengan bantuan topeng oksigen biasa. Semuanya berlaku selepas kemalangan jalan raya yang menimpa beliau dua minggu lepas yang mengakibatkan kecederaan teruk pada paru-paru dan kakinya.

"Apa khabar pakcik?" saya menyapa ceria. Pesakit tersebut senyum membalas sapaan saya. "Alhamdulillah.. semua orang senyum bila tengok saya hari ni," dia membalas. "Mestilah senyum, pakcik nampak sangat sihat hari ni," saya membalas kembali.

Pesakit tersebut menyambung, "Syukurlah, Allah menyembuhkan saya. Apa yang Allah timpakan ke atas saya hanyalah sedikit ujian dari-Nya untuk saya. Mungkin sebelum ni saya selalu leka. Alhamdulillah...."

Saya tak terkata, cuma mengangguk menahan rasa terharu di hati. Syukur, dia masih mampu mensyukuri Allah, masih mampu menilik hikmah di sebalik beratnya dugaan yang menimpanya. Teringat perbualan saya dengan isterinya minggu lepas yang bertanya perkembangannya. Setelah saya terangkan keadaan suaminya, saya nasihatkan, "Banyak-banyak doa kak, Allah yang menentukan sakit sembuh nya." "Ya, apalah lagi yang kakak terdaya melainkan berdoa," balasnya dengan tenang. Dan setiap hari saya melihat dia terus setia menjaga dan mendoakan suaminya yang sedang bertarung nyawa.

Perbualan singkat saya dengan pesakit itu pagi semalam terkesan di hati. Betapa kebanyakan manusia, ketika senang pun amat sukar mengingati-Nya, apatah lagi dalam susah derita. Ada pula segelintir manusia, yang tidak mampu bersabar dengan dugaan kesenangan lantas terus lalai, tetapi kembali pada Allah bila diduga kesusahan.

Ya Allah, jadikanlah kami selalu ingat pada-Mu dalam susah mahupun senang.

Thursday, August 05, 2010

Mana Milik Kita?

"Innalillahi wa inna ilaihi raji'un..." terkedu sebentar mendengar khabar pemergian pesakit yang menjadi 'pelanggan tetap' hospital semasa saya masih bertugas di Betong. Terkedu kerana tidak menyangka wanita berusia 22 tahun itu pergi seawal itu sedangkan dia pada setiap lawatan dan kemasukan ke wad selalu kelihatan selesa dan ceria. Teringat pula ibunya yang ramah dan selalu menyapa. Terasa sedih mengenangkan anak kecilnya yang masih belum kenal erti dunia ditinggalkan pergi ibu tercinta.

Saya sebak sendiri, memikirkan andainya saya mengalami nasib yang sama, saya pergi meninggalkan orang yang menyayangi dan memerlukan saya, apakah agaknya penerimaan mereka? Apa pula penerimaan saya andainya saya ditinggalkan mereka yang tercinta? Pasti pedih luka menusuk hati sepertimana pedihnya hati saya dengan pemergian ayah tercinta beberapa tahun lepas. Sukarnya saya membayangkan, hingga saya menutup mata untuk cuba membuang sejauhnya bayangan tersebut.

Astaghfirullah... betapa diri ini penuh rasa memiliki. Merasa diri ini milik sendiri, merasa bahawa segala yang dicintai milik diri yang hakiki, hingga tidak sanggup kehilangan mahupun berjauhan.

Wahai diri, usahlah dirisaukan perpisahan, kerana dirimu dan semuanya hanya pinjaman. Dia berkuasa memberi nyawa, pada-Nya jualah kuasa menariknya semula.
Wahai insan, usah dikeluh kesah pemergian, kerana biar kau mengeluh atau tidak, janji-Nya pasti, setiap yang bernyawa pastikan mati.
Wahai diri, hiduplah dengan sebaiknya, kerjakanlah urusanmu dengan sepenuh hati, andai esok kau pergi, moga tiada penyesalan nanti.

Moga tetap langkah kami mencari cinta Ilahi.

Thursday, July 15, 2010

Which of Allah's Favor Can We Deny?

I was walking in the hospital corridor towards the casualty department at 11.45pm, planning to review the referred patient, when I met a lady cleaner, who is obviously pregnant sweeping the corridor floor. "How many months are you?" with a smile, I ask while passing by. "Seven months," she replied, smiling while continue sweeping the corridor floor.

The next day, while I was waiting for my husband to pick me up at the hospital lobby at 7.10pm (my long and tiring post call day), I was sighing on my tiredness, thinking that how tiring it is for me to work 36 hours continuously with very minimal rest. I was sad thinking of how busy I am with my carrier that I hardly have opportunity to cook a good meal for my husband, hardly have time to do house cleaning and at the same time stressful of thinking a bundle of pending laundries to be settled at home. I also had not been calling my loving mother for few days and really missed her curing voice that always pampered my soul. I remembered that I had not been asking news from my good friend, and had not reply a call from another close friend.

Few minutes after sitting at the lobby, I noticed the same cleaner that I met the night before was sweeping the lobby floor and collecting all the rubbish with her heavy-looked distended tummy. I was amazed, thinking of how strong she is, doing those heavy task in such difficult situation, and yet I'm pretty sure that she is paid too little for her heavy effort. Oh my, how could I complain for my slight difficulty which is relatively small compared to others?

I was ashamed on myself then, realizing how Allah has made the things easy for me most of the time and how He had given me strength to stand with all the burdens. And the most important of all, grant me with a very understanding soul-mate, who continuously understand my situation and never complain of anything. Allah also blessed me with such a supportive family and friends who understand my situation and giving helping hands all the time. Oh my, what else do you expect?

Which of Allah's favors can I deny?

Monday, June 07, 2010

Mentari Muncul Lagi

"Sayang, bila lagi nak update blog?" suami bertanya beberapa kali sejak minggu lepas. Saya terdiam, cuba mencari alasan: sibuk, mati idea, kurang bahan. Namun saya diam sahaja memikirkan bahawa semua alasan tersebut tidak wajar menjadi alasan bagi saya.
Saya ingin berkongsi, namun bimbang ada secebis rasa besar diri di hati. Tambahan pula, ilmu dan pengalaman bukanlah sehebat mana, sedang diri masih bertatih memperbaiki diri dalam usaha mencari cinta Ilahi. Namun saya gagahkan jua mencatat kerana ingin berkongsi manfaat, moga Allah menerima ia sebagai amal untuk bekal akhirat.

Banyak yang berlaku sebulan kebelakangan ini. Selepas peristiwa kemalangan yang menyebabkan sedikit kerugian, rupa-rupanya Allah telah memberi ganti sesuatu yang lebih baik. Tanpa saya duga, pertukaran saya kembali ke sisi keluarga diluluskan. Sungguhpun berat hati meninggalkan bandar Betong yang sudah serasi dengan diri, namun lega kerana tidak perlu melalui perjalanan jauh setiap dua minggu untuk berjumpa suami dan keluarga. Juga melihat ruang yang lebih mudah untuk meneruskan cita-cita melanjutkan pelajaran, insya-Allah. Kegembiraan bertambah dengan kelahiran anak saudara baru, mudah-mudahan menjadi solehah dan mujahidah.

Dua minggu selepas berpindah, teruji lagi dengan kehilangan harta akibat pecah rumah. Walaupun kerugian harta, tapi hati redha meyakini bahawa pasti akan digantikan-Nya dengan yang lebih baik kelak.

Dia tidak pernah menghampakan. Alhamdulillah, ada lagi kebahagiaan yang berganti, doa yang dipanjat saban hari telah termakbul dengan kasih sayang-Nya. Bahagia disambut penuh syukur. Semoga padanya ada redha Allah.

Banyak yang dipelajari: Bahawa hidup yang dilalui hanyalah alat jua wasilah dalam menuju matlamat iaitu kebahagiaan akhirat. Tidak perlu menangisi musibah kerana padanya pasti ada hikmah, iaitu sebagai kifarat atau peningkat darjat. Bahawa kalam-Nya selalu benar, selepas kesukaran pasti menjelma kemudahan. Selepas mendung, mentari kan muncul lagi.

Segala pujian hanya bagi Allah, Rabb Yang Maha Paengasih, tiada kasih sebesar kasih-Nya. Yang terus memberi dan memberi sedang hamba-Nya sering mengingkari. Yang tidak jemu menerima taubat walau hamba-Nya terusan berdosa. Seluruh syukur ku panjat hanya pada-Mu Allah. Berikanlah aku secebis dari cinta agung-Mu dan jadikanlah pertemuan dengan-Mu kudambakan selalu. Jadikanlah aku hamba yang setia mencintai-Mu dalam senang jua susahku. Amin...

Saturday, May 08, 2010

Ada Suatu Cinta

Ada suatu cinta yang menyentuh jiwa,
Ada suatu rindu yang takkan sirna,
Ada suatu sentuhan yang selalu terasa,
Ada suatu nama yang selalu bertakhta.

Dia teman bicara yang tidak jemu,
Dia pemberi nasihat yang tidak ragu,
Dia yang sentiasa membangkit semangatku,
Dia sering memberi yang terbaik buatku,
Dia jua yang mencintaiku selalu.

Pada kesusahannya mengandungkanku,
Pada kesakitannya melahirkanku,
Pada jerih payahnya membesarkanku,
Pada kesabarannya mendepani karenahku,
Pada air mata dan keringatnya menjagaku,
Aku bermohon wahai Tuhan....

Moga Kau ampuni dosa-dosanya,
Moga Kau limpahi kebaikan buatnya,
Moga Kau limpahi taufiq padanya,
Moga Kau bahagiakan hatinya,
Moga Kau muliakan dia di dunia,
Moga Kau cintai dia di syurga...

Ada suatu cinta yang menyentuh jiwa,
Ada suatu rindu yang takkan sirna,
Ada suatu sentuhan yang selalu terasa,
Ada suatu nama yang selalu bertakhta,
Dialah bonda...

Sunday, April 18, 2010

How small I am, How Great He is!

I make plans, Allah make plans, and He is the Best Planner.

Two weeks ago, I planned to reach safely in Betong after my weekend leave in Kuching. But Allah had planned that the car that I drove involved in accident. And He planned that I forgot to renew my road tax and only realized that after the accident. As a consequence, I get compound and I had problem with my insurance claim. Lucky me that I was the victim, if only I was the guilty in the accident, that would be worse!

Thank you Allah, for the small test that You had given me. The test is never beyond my capability to face it, as You know my strength and capability. Thank you Allah, for giving me something to remind me not to be far from You. Thank you Allah, for everything!

I’ve learnt lot of lessons from the incident:

- Next time I need to be more alert, I need to check and take note the due date of my important bills and documents renewal. I shouldn’t depend on the reminder letter because the last time I did that, they sent the document to a wrong address.

- It is important to have some savings because you never knew if you need the money during your emergency time.

- It is good if you have friends from various skills because who knows if you need their opinion or help for the things that you are not good in.

- In life, Allah tests us with lots of things to teach us to be strong. The experiences that we gain during the test are valuable gifts to make us better person in future.

- Allah gives us tests to be faced with our love ones to show that we need each other and make the bonding and relationship stronger.

The way He planned things made me realized how small I am and how Great He is!

Tuesday, March 30, 2010

Kenyataan Yang Menakutkan

Saya selalunya senang dan gembira membuat pemeriksaan rutin untuk ibu mengandung. Melihat wajah penuh bahagia ibu-ibu apabila janin yang dikandung membesar dengan sihat. Merenung sinar harapan pada mata wanita-wanita yang teruja menunggu lahirnya kehidupan baru di dunia ini.

Namun, sejak kebelakangan ini jiwa saya jadi pedih, hati saya jadi resah apabila melihat ‘trend’ di kalangan ibu-ibu mengandung yang dirujuk di klinik antenatal tempat saya bertugas. Saya sedih kerana tidak kurang daripada separuh ibu mengandung anak pertama yang beragama Islam yang saya periksa, mengandung sebelum tarikh nikah!

Pernah saya bertanya pada seorang wanita berusia awal 20-an, “Kandungan adik dah masuk 7 bulan, tapi tarikh nikah baru seminggu lepas? Betul ke?” Dia mengangguk, “Betul doktor.” “Pelik jugak, orang sepatutnya nikah dulu baru mengandung, awak terbalik pulak,” ujar saya serius, mengharapkan dia menyedari silapnya. Wanita tersebut tersengih-sengih, dan saya pula yang hairan.

Juga hampir setiap minggu ada gadis yang dibawa ibunya mendapatkan rawatan untuk masalah kesihatan yang pelbagai, apabila dibuat ujian kehamilan didapati POSITIF dan melalui ujian ultrasound didapati kandungan sudah berusia lebih empat bulan.

Sahabat saya bercerita bagaimana seorang ibu bereaksi sangat terkejut bila diberitakan anak gadisnya yang berusia 18 tahun dan belum berkahwin mengandung! Respon saya pada sahabat tersebut, "Syukurlah ibunya terkejut! Kalau dia tak terkejut, saya yang terkejut!"

Lebih menyesakkan dada, apabila saya kerap merawat wanita-wanita Islam yang mengandung dua kali atau tiga kali, yang setiap kandungannya adalah disebabkan hubungan luar nikah, dengan lelaki yang berbeza pada setiap kandungan. Apakah mereka tidak pernah belajar dari kesilapan?

Bila melihat berita pembuangan bayi dan pembuangan janin yang tersiar di media saban hari sejak kebelakangan ini, ditambah dengan berleluasanya masalah hubungan seks di luar nikah, saya mula risau jika hal sama berlaku di tempat saya. Nauzubillah...

Terima kasih Mariati atas perkongsian maklumat di LENTERA HATI.

Juga terkesan dan resah dengan entri Ustaz Hasrizal Buang Bayi: Kejutan Budaya di Tanah Air Sendiri

Pelbagai persoalan menghantui minda saya:

1. Apakah 'virginity' sudah tiada nilainya pada gadis Islam di zaman ini?

2. Apakah sudah hilang kemampuan ibu bapa untuk mengawal anak-anak hingga mereka terjebak dalam hubungan luar nikah tanpa disedari ibu bapa sendiri?

3. Bagaimana agaknya nasib anak luar nikah seandainya mereka tanpa atau dengan sedar diwalikan oleh bapa nya seandainya dia bernikah apabila dewasa kelak? Bagaimana pula dengan nasab generasi yang terhasil dari hubungan syubhah tersebut?

4. Bagaimana jika generasi kita, yang sedayanya dipelihara dari kecil akhirnya terlibat dalam pernikahan yang tidak sah walinya?

Allah, saya ingin berperanan sedaya saya membendung masalah ini. Tunjukkan saya cara terbaik melaksanakan misi ini dalam lapangan saya. Selamatkanlah umat ini ya Tuhan, dari segala kecelakaan dan kebinasaan dunia dan akhirat.

Kepada sahabat-sahabat, marilah kita sama-sama berperanan mendepani isu ini dari akar umbi hingga akibatnya. Sama-sama lah kita berusaha walau dengan apa cara jua, mendepaninya. Sebarkanlah, walau sepotong ayat.

Kepada mereka yang telah terjebak, bertaubatlah, bertaubatlah, bertaubatlah. Rahmat-Nya meluas, maka jangan dituruti dosa yang pertama dengan yang kedua. Janganlah menjebakkan diri dalam binasa berulang kali.

Kepada saudara saudari yang kukasihi, tutuplah ruang untuk hubungan terlarang, yang bisa menjebak pada anak luar nikah dan memungkinkan si kecil yang tak berdosa dizalimi. Ingatlah, hikmah Allah pada kewajipan menutup aurat, menjaga pandangan, menjauhi zina, kerana Dia Maha Tahu yang terbaik untuk hamba-Nya.

Thursday, March 11, 2010

Rahmat Ujian

Kau mengujiku, pasti dengan sesuatu yang ku mampu, kerana Kau Maha Tahu apa yang terbaik untukku.

Kau memberi atau mengambil kembali, agar terhapus dariku rasa memiliki, dan kembali menyedari bahawa pada-Mu akan ku kembali.

Kau mendatangkan gembira atau memberikan duka, agar hatiku tidak kotor dek rasa bangga, dan tunduk merendah pada-Mu dalam semua perkara.

Kau mendugaku dengan ujian, agar diriku lebih teguh beriman, dan lebih kerap menadah tangan, memohon pada-Mu wahai Tuhan.

Kau sahaja yang Maha Bijaksana, mengatur hidupku dengan sempurna, meski diriku kerap terlupa, namun kasih-Mu tak pernah sirna...

Monday, March 01, 2010

"Takpe..nanti pergi haji kita taubatlah...."

Suatu hari semasa berbual dengan seorang sahabat yang merupakan Ketua Jabatan di tempat beliau bertugas, beliau bercerita yang beliau telah ditawarkan untuk menerima 'hadiah' daripada seorang kontraktor jika beliau meluluskan permohonan tender kontraktor tersebut. Dengan kata lain dia cuba menawarkan rasuah pada sahabat saya.

"Nanti kita bahagi 50-50," pujuk kontraktor tersebut. Sahabat saya yang terkejut terus memberi respon, "Eh, mana boleh...berdosa..." "Takpe, nanti pergi haji kita taubat habis lah," balas kontraktor tersebut selamba. Kontraktor tersebut bercerita, dahulu dia pernah memberi 'hadiah' kepada seorang yang bergelar "ustaz" dan ustaz tersebut menerima dengan senang hati dan mengeluarkan kenyataan, "Takpe, nanti pergi haji kita taubatlah..."

Saya menggeleng-geleng sahaja, sedih dengan pernyataan “ustaz” tersebut, sudahlah salah, menyebar pula kesalahan kepada orang lain. Kontraktor tersebut pula, tahu akan dosa perbuatannya, tetapi pernyataan dari seorang yang belum tentu maksumnya sudah menjadi dalil untuk beliau menghalalkan perbuatannya itu.

Saya membayangkan reaksi saya jika kontraktor tersebut berkata sedemikian di hadapan saya:

“Awak pasti ke awak masih hidup sehingga awak pergi menunaikan haji?”

“Awak tahu tak setiap sen dari ‘keuntungan’ yang awak perolehi dari rasuah tu menghilangkan keberkatan dalam rezeki awak dan setiap rezeki yang haram itu nerakalah balasannya?”

“Dalam soal tender lagi awak tidak amanah, bagaimanakah saya boleh percaya pada awak untuk menyelesaikan tugas pembangunan ini dengan sempurna?”

“Kalau ustaz tu ajak masuk neraka awak nak ikut sekali ke?”

Masih menggeleng-geleng kepala...

Friday, February 26, 2010

Ingin Kubuktikan Cintaku...

Ingin kubuktikan cinta padanya
Seorang insan yang amat istimewa
Meskipun dia tak pernah ku temui
Namun sirahnya kerap ku dengari
Menambah cinta dan kagum pada dirinya

Dia sangat kasihkan anak yatim juga yang tua
Manis senyumnya menyapa sesiapa sahaja
Lembut tuturnya berbicara menenang jiwa
Hikmahnya dia dalam marah jua gembira
Rendah dirinya dalam pergaulan
Padahal dia sebaik-baik insan

Hebatnya dia dalam bersahabat
Sentiasa menghulur nasihat
Selalu mengutamakan teman
Kerana merasa malu kepada Tuhan

Ibadahnya hebat sekali
Padahal padanya telah dijanji kedudukan tinggi
Malahan syurga dalam genggamannya pasti
Katanya, apa tidak pantas aku menjadi hamba yang mensyukuri?

Teguhnya dia sebagai daie
Memperbaiki diri dan beramal sebelum peringatan diberi
Tidak mudah melatah malah luhur memberi kemaafan
Tidak pernah putus asa dalam menyampaikan
Kerana sifat tabligh jadi pegangan

Allahumma solli ala Muhammad…
Dialah kekasih-Nya rahmat seluruh alam
Cintanya pada Tuhan tiada bandingan
Cintanya pada umat tidak terjangkaukan
Dia insan terhebat di dunia juga penghulu di syurga

Malunya aku pada diri sendiri
Lidah lancar melafaz cinta padanya
Namun akhlakku jauh sekali menurutinya
Kadang-kadang kurang sabar dengan karenah yang menyakiti
Kerap juga rasa jengkel pada telatah yang mengganggu
Mudah pula bereaksi membenci bila teruji
Bila berkawan terkadang pentingkan diri
Berat pula untuk mengutamakan teman
Ibadahku masih bermalas-malasan
Dakwahku pula hanya cukup-cukupan

Ya Allah,
Jadikan dia cinta agungku selepas cinta pada-Mu
Berikanku kekuatan menuruti suri teladan baginda
Kuatkan diriku untuk beramal dengan sunnahnya
Lembutkan hatiku untuk mencontohi akhlaknya
Agar dapat kubuktikan cintaku!

Thursday, January 21, 2010

Talama Ashku Gharami

English Translation

How long will my heart ache for my Beloved
O you light of the universe
And call out you o Tihami
O you treasure of goodness?

My utmost wish and desire
Is that I may attain to the vision
And see the door of paradise
O you purifier of efforts!

O you crown of creation
I am engrossed with longing and desire
A lover, whose art is praise (of the beloved)
O you full-moon of perfection!

Lift away the burden from me
Love has consumed me and made me weak
To you I put my hope
O you holder of lofty promises!

O you guiding lights of the Prophets
You most highly honoured
O you the leader of God fearing
My heart melts (in front of you!)

Malay Translation

Lama sudah aku menanggung rindu
Wahai cahaya alam yang indah
Serta aku menyeru, wahai Nabi
Wahai punca ilmu yg pemurah

Impianku setinggi tinggi cita-cita
Moga dapat diberikan tuah dapat melihatmu
Juga melihat Bab al Salam (di Masjid Nabawi)
Wahai sesuci suci insan

Wahai hiasan dunia ini
Aku amat cinta dan rindu padamu
Hanya pujian menjadi persembahanku
Wahai bulan mengambang penuh

Jauhkanlah segala penghalangku daripadamu
Yang ku pendam hanya kerinduan terhadapmu
Padamu aku bersangka baik
Wahai yang benar pada janjinya

Wahai pelita sekalian Rasul!
Wahai insan yang mempunyai setinggi-tinggi kedudukan!
Wahai imam orang - orang yang bertaqwa!
Sesungguhnya hatiku terpaut padamu

Ke atasmu, moga Allah mencurahkan rahmat
Tuhanku yang mempunyai keagungan
Cukuplah wahai cahaya Bulan!
Sesungguhnya perpisahanku denganmu telah terlalu lama

Allahumma solli a'ala saidina muhammad s.a.w!

Tuesday, January 12, 2010

Pernahkah?

Wahai diri, pernahkah kau menyedari betapa beruntungnya dirimu jika kau mengetahui hakikat kehidupanmu dan menelusi limpahan kasih Tuhan buatmu?

Pernahkah kau menyedari betapa banyak kebaikan dan keajaiban yang berlaku dalam hidup-Mu sedangkan tak pernah kau meminta dari-Nya dalam doamu.

Pernahkah kau menyedari betapa banyaknya harapan jua permintaanmu yang kau lafazkan atau yang terpendam di hatimu diperkenankan oleh Nya tanpa syarat.

Pernahkah kau menyedari biarpun doamu tidak terjawab seperti yang kau minta dan rayu, Dia telah menggantikanya dengan sesuatu yang lebih baik dari itu untukmu.

Pernahkah kau menyedari akan besarnya limpahan kebaikan yang menyelimuti hidupmu atas sifat Kasih-Nya, sedang terlalu sedikit kesyukuran yang kau sembahkan pada-Nya.

Pernahkah kau menyedari betapa sedikitnya kesulitan yang kau rasai berbanding lautan kesenangan yang kau kecapi dan kau masih merungut dan tidak sabar menghadapinya.

Pernahkah kau menyedari akan seringnya kesulitanmu yang sedikit itu digantinya dengan kesenangan yang kau raikan dan kau masih selalu melupai-Nya.

Pernahkah kau menyedari betapa sedikit zikirmu, syukurmu, amalanmu yang kau hamparkan buat-Nya sedangkan Dia masih setia memberi dan memberi padamu.

Pernahkah ada sesiapa yang mengasihimu sehebat kasih-Nya, menjagamu seperti penjagaan-Nya, bersabar denganmu seperti sabarnya Dia?

Wahai diri, zahirkan syukurmu dengan hati, dengan merasa qana’ah (memadai) pada yang diberi-Nya baik ia menepati keinginanmu atau tidak, dengan merasai kehebatan kasih-Nya dalam setiap yang kau lalui, dengan tidak mempersekutukan-Nya dengan apa pun.

Wahai diri, zahirkan syukurmu dengan lidah, dengan hamdalah dan tasbih memuji nama-Nya, dengan berkata baik sesama saudaramu, dengan menahan lidahmu dari mengeji manusia, dengan menyampaikan nasihat dan kata dorongan pada saudaramu.

Wahai diri, zahirkan syukurmu dengan anggota, dengan menggunakannya untuk beribadat khusus pada-Nya, dengan membantu saudaramu yang memerlukan, dengan menjadikan dunia penuh dengan kebaikan, dengan mengisi harimu untuk perjuangan.

Wahai diri, sedarlah....

Sunday, January 10, 2010

Wahai Gadis, Selamatkan Dirimu!

Kebelakangan ini, saya didatangi beberapa kes rogol yang melibatkan gadis bawah umur yang dirujuk pihak polis untuk pemeriksaan fizikal. Rata-rata kes tersebut melibatkan suspek yang dikenali oleh mangsa, dan mangsa-mangsa rogol tersebut dengan rela hati menerima ajakan atau pujukan suspek untuk ke tempat-tempat sunyi di mana akhirnya mereka diajak melakukan hubungan seks secara paksa. Sebelum ini juga, saya pernah menerima kes mangsa yang melakukan seks secara sukarela dengan teman lelaki tetapi diklasifikasikan sebagai rogol kerana mangsa masih di bawah umur.

Perasaan saya bercampur baur. Pertama, saya jijik dan marah pada lelaki yang menuruti kejahatan hawa nafsu mereka dan mengambil kesempatan terhadap gadis-gadis tersebut. Saya jadi seram dan takut memikirkan bahawa betapa banyak bahaya menanti wanita akibat kerakusan lelaki.

Kedua, saya sangat kasihan dengan nasib yang menimpa gadis-gadis tersebut, dalam usia yang sangat muda sudah dilanda trauma akibat dirogol. Lebih malang lagi, ada yang mengandung anak luar nikah akibat jenayah tersebut. Dan lebih menakutkan saya, ia menyebabkan pelbagai masalah sosial lain seperti pengguguran dan pembuangan anak.

Ketiga, lebih daripada rasa kasihan saya, dalam masa yang sama merasa sangat-sangat marah dengan ‘kenaifan’ gadis-gadis tersebut. Haruskah saya salahkan suspek semata-mata jika pada awalnya gadis-gadis tersebut telah ‘merelakan’ diri mereka terjebak dalam jenayah itu dengan merelakan diri mengikut lelaki tersebut.

Wahai gadis, janganlah terlalu naif. Tidakkah kalian tahu bahawa Allah melarang mendekati zina melalui pergaulan bebas dengan bersebab? Allah Maha Tahu bahawa hubungan terlarang antara lelaki dan perempuan akhirnya akan melorongkan mereka ke lembah penzinaan sama ada secara rela atau paksa. Maka, janganlah kerana ‘cinta’, kau biarkan maruahmu tergadai. Janganlah kerana ‘sayang’, kau biarkan masa depan mu terbengkalai.

Wahai gadis, Allah telah mensyariatkan kaum wanita untuk menutup aurat dengan sempurna serta menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. Allah Maha Tahu yang terbaik untuk hamba-Nya, iaitu melalui syariat-Nya sahaja manusia akan selamat dari terjebak ke lembah kehinaan. Maka, janganlah kau melanggar syariat penutupan aurat yang telah diperintahkan-Nya. Jika kau masih sombong melanggar syariat-Nya, janganlah kau melenting jika disalahkan dirimu punca kepada kebinasaanmu sendiri.

Wahai gadis, hijablah pakaianmu dengan menutup aurat sepertimana yang diperintahkan-Nya, dan hijablah hatimu dengan mengerjakan solat serta memperbanyakkan mengingati-Nya. Selamatkan dirimu dari diperdaya manusia durjana dengan mentati perintah-Nya nescaya kau akan selamat jua di akhirat sana.

Wahai ibu bapa, didiklah anak-anak kalian. Ajarkan padanya akan bahayanya biusan hawa nafsu. Nasihatlah mereka supaya menjaga aurat dan pergaulan. Peringatilah mereka akan akibat daripada melanggar syariat. Laranglah mereka menuruti kebebasan. Marahlah mereka jika syariat dibelakangkan. Apakah sayang kalian hanya pada menuruti kehendak mereka, tanpa gusar memikirkan keselamatan jua nasibnya di ‘sana’? Apakah kalian rela menyaksikan mereka hancur di dunia yang fana ini dan tersiksa di neraka akhirat?

Wahai gadis, selamatkanlah dirimu!

Monday, January 04, 2010

Allah (Lagi)

Oleh: Faisal Tehrani (http://tehranifaisal.blogspot.com)

1. Saya pernah menulis mengenai kalimah Allah di blog ini (lihat sini). Intinya saya tidak bersetuju kalimah tersebut dibenarkan untuk kegunaan penganut agama selain Islam.

2. Kalimah Allah bukan sahaja bererti Tuhan. Ia membawa sama 'nilai kesucian' yang tersendiri buat penganut agama Islam. Kerana itulah seseorang muslim dalam keadaan janabah misalnya tidak akan memegang (ayat-ayat suci) al-Quran. Kerana itulah jika kita terserempak keratan kertas bertulis 'Allah, Nabi Muhammad' di atas jalan, kita akan mengutipnya, dan cara untuk melupuskan keratan itu selalunya kita membakar ia sehingga musnah. Pendek kata Allah bukanlah semata-mata 'Tuhan'. Ia membawa 'keberatan' atau weight yang lebih mendalam.

3. Kebenaran penggunaan kalimah Allah buat penganut agama lain akan memberi kesan dalam bahasa Melayu juga. Bayangkan Allah dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud 'Tuhan Yang Esa' terpaksa dirombak, tunduk menurut ajaran Kristian dengan sisipan ayat contoh kedua: (Astaghfirullah) Jesus adalah anak Allah. Kita juga mungkin (terpaksa) merujuk gereja sebagai 'sebuah lagi rumah Allah'. Ini kerana bukan sahaja masjid lagi dapat dirujuk sebagai 'rumah Allah'.

4. Jika Allah hanyalah satu kalimat bermaksud Tuhan, maka orang Islam (Muslim India dan Melayu) Singapura tidak akan turun ke jalanraya satu masa dahulu untuk mempertahankan akidah Natrah. Kita juga tidak perlu berheboh-heboh mengenai Nur Aishah Bukhari, tidak berheboh-heboh mengenai Lina Joy. Jadi, Allah adalah lebih dari Tuhan.

5. Seperti yang pernah saya sebutkan, mintalah pendita Kristian menyelak Bible (yang asal Vatican) mereka dan tunjukkan di mana ada kalimah Allah?

6. Sebenarnya Vatican sendiri menolak pengunaan kalimah Allah untuk merujuk Tuhan. Pernahkah anda mendengar Pope Benedict (pendita rujukan penganut Katolik sedunia) misalnya menggunakan kalimah ini dalam khutbah atau misa beliau? Ini kerana dalam "Declaration on the Relation of the Church to Non-Christian Religions, The Second Vatican Council, Promulgated by His Holiness Pope Paul VI, October 28, 1965' telah pun menyatakan Allah dan Tuhan Kristian berbeza.

7. Konsili Vatican Kedua tersebut menyatakan dengan terang-terang bahawa Allah dalam al-Quran (Islam) berbeza dengan Tuhan yang digambarkan oleh kitab Bible rujukan penganut Kristian. Penyataan Konsili tersebut bermula dengan kata-kata penghormatan buat muslim tetapi menegaskan yang dalil-dalil dari Al-Quran dan Bible tentang 'Tuhan' adalah bertentangan.

8. Penyataan konsili itu menyebutkan:

Ayat dari Bible '2 John 1:9 Whosoever transgresseth, and abideth not in the doctrine of Christ, hath not God. He that abideth in the doctrine of Christ, he hath both the Father and the Son'.

Surah 19:88 They say: "(Allah) Most Gracious has begotten a son!" 89 Indeed ye have put forth a thing most monstrous!"

- Yang bermaksud - 'Dan mereka berkata: Tuhan Yang Maha Pemurah mempunyai anak. Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar.'

Sila rujuk surah Maryam ayat 88 dan 89.

9. Terdapat banyak ayat-ayat perbandingan lain dari Bible dan Quran lagi dikemukakan dan Declaration on the Relation of the Church to Non-Christian Religions, The Second Vatican Council, Promulgated by His Holiness Pope Paul VI, October 28, 1965' itu secara tegas menolak penggunaan kalimah Allah untuk orang Kristian. Ini kerana Vatican sendiri menyatakan; Allah menurut Islam tidak punya anak. Sedangkan dalam agama Kristian, Allah punya anak (Astaghfirullah).

10 Oleh kerana Vatican sendiri menolak penggunaan kalimah Allah untuk penyebaran agama Kristian; maka kita tertanya-tanya apakah sebabnya Kristian di Malaysia beria-ia dan bersungguh-sungguh mahu menggunakan kalimah Allah dalam gereja dan dalam akhbar mereka?

11. Umat Islam dari apa jua parti dan jalur mesti bersatu untuk mendepani 'kekeliruan' yang boleh tercetus akibat dari 'insiden/tuntutan aneh' ini. Sila berhenti menyalahkan satu sama lain dan sila berhenti menunjukkan yang kumpulan atau parti anda lebih (kononnya) terkehadapan dalam memperjuangkan isu ini. Ulama dan tokoh politik Islam yang menyokong penggunaan kalimah Allah buat orang Kristian eloklah bertaubat.

Kita berharap Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja akan peka dengan isu yang boleh menjadi api dalam sekam ini di tengah-tengah usaha untuk kita memelihara keharmonian bangsa-bangsa Malaysia.

12. Menurut Islam, kalimah Allah mestilah sentiasa digandingkan dengan kalimah Muhammad kekasih-Nya. Saya tidak dapat membayangkan kalimah Allah digandingkan dengan kalimah Jesus 'selaku anaknya'. Bolehkah anda selaku seorang Muslim (tidak kiralah saudara ahli UMNO, PAS atau PKR) menerimanya?