Mabuk Cinta Halal

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Tuesday, December 05, 2006

Belajar Hidup

Sudah agak lama saya tidak menulis, sejak mula bertugas. Kehidupan yang saya lalui amat berbeza. Saya belajar banyak perkara, dari ilmu asas seorang doktor hinggalah ilmu kemanusiaan yang saya depani setiap hari.
Saya baru belajar mengawal kesabaran dalam tekanan dan kepenatan yang dilalui sehari-hari. Saya belajar untuk membahagikan masa sebaiknya dan melaksanakan tugas secekapnya. Saya belajar berkomunikasi, lebih peka dengan sekecil-kecil perkara, mengutamakan tanggungjawab terhadap pesakit dari kehendak diri. Saya belajar menyayangi, ambil berat, simpati. Saya belajar akan pentingnya peranan setiap orang dalam membantu memulihkan pesakit, belajar menghargai sesiapapun.
Saya ingin terus belajar..kerana semakin saya belajar, semakin saya merasai saya perlu terus belajar. Semakin banyak yang saya lalui, semakin sering saya diingatkan bahawa pentingnya Tuhan dalam hidup saya. Semakin perit dan tertekan jiwa saya, semakin saya sering sedar bahawa saya tidak mampu untuk lepas dari-Nya.

Friday, September 15, 2006

Doctor and Patient

Ahlan Wa Sahlan: Ramadhan dan .....

Surat penempatan bertugas baru saya terima dua hari lepas. Saya bakal bertugas dalam masa tiga hari lagi. Sukar saya gambar perasaan saya yang bercampur aduk ini; teruja, risau, seronok, takut, gembira.
Setelah bercuti selama tiga bulan, saya bakal kembali ke hospital yang saya rindui bukan sebagai pesakit, pelawat atau pelajar perubatan (sepertimana sebelum ini), tetapi menjadi sebahagian dari tenaga kerja di Hospital Umum Sarawak. Saya bukan sahaja bakal melalui pengalaman pertama sebagai pegawai perubatan, tetapi juga pengalaman pertama bekerja setelah usia saya dipenuhi dengan tugasan menimba ilmu selama hampir 20 tahun.
Pelbagai cerita dan pengalaman pernah saya dengar dari doktor-doktor senior sebelum ini membuatkan saya merasa risau namun amat teringin untuk melaluinya. Bagaimanakah agaknya kehidupan saya selepas ini? Pasti banyak perubahan yang bakal saya hadapi dalam hidup saya.
Saya paling bimbangkan bagaimana agaknya saya bakal meniti hari dan menjalani hidup penuh kesibukan di ambang bulan Ramadhan ini. Mudah-mudahan masih ada peluang untuk saya menambah amal dan iman pada Ramadhan kali ini yang saya belum pasti adakah sempat menemuinya atau tidak.

Thursday, September 14, 2006

Guru Perlu Faham Peranan

Sejak kecil saya amat mengagumi profesyen perguruan. Saya memandangnya sebagai satu tugas yang cukup hebat, lebih hebat peranannya daripada 'superhero' terkenal yang sering diagungkan kanak-kanak seusia saya ketika itu. Saya menginsafi peranan para guru dalam melahirkan insan-insan hebat yang menjadi pendukung sesebuah bangsa. Seawal usia kanak-kanak saya sudah bermimpi untuk menjadi seorang guru. Kini, meskipun saya tidak mengambil bidang perguruan, cita-cita saya masih sama, ingin menyemai bakti sebagai pendidik demi melahirkan insan-insan cemerlang dalam bidang saya.
Suatu masa dahulu, guru merupakan seorang yang amat dihormati di kalangan masyarakat. Mereka disanjung tinggi, disegani juga disayangi, cakap-cakap mereka didengari dan diambil kira. Merekalah orang paling hebat dalam masyarakat.
Saya amat kesal dengan sikap segelintir guru yang dipaparkan oleh pihak media kebelakangan ini. Bagaimana seorang guru boleh 'menyembunyikan' dan 'mengehadkan' pengetahuan mereka di dalam kelas dan meminta murid-murid membayar lebih untuk mendapat kefahaman yang lebih?
Guru sebagai insan utama yang menjadi bukan sekadar pendidik malah 'role model' bagi para pelajarnya sepatutnya menghadami peranan mereka sebagai seorang pendidik. Mereka perlu faham sejak awal akan matlamat dan tanggungjawab mereka. Seorang guru sepatutnya bukan sahaja menyampaikan apa yang terdapat dalam silibus pengajaran, tapi berusaha sepenuhnya untuk memberi kefahaman dan membantu anak didiknya mengaplikasi pengetahuan tersebut.
Oleh itu, guru-guru sejak mula perlu tahu bahawa profesyen mereka bukan sekadar platform untuk 'cari makan' tetapi merupakan medan penghasilan generasi yang berpengetahuan dan berguna terhadap masyarakat. Guru-guru perlu memperbetulkan niat mereka untuk berbakti dengan ikhlas dalam membentuk individu-individu yang cemerlang dan menyedari peranan mereka begitu besar dalam pembinaan sesebuah tamadun.
Guru-guru sepatutnya berbangga dengan tugas mereka dan percaya bahawa profesyen ini merupakan suatu sumbangan yang amat besar. Malah, para ilmuan dan pengajar mempunyai kedudukan yang amat mulia dari pandangan Islam.
Seandainya para guru memahami dan menghayati peranan dan tanggungjawab mereka, pasti tugas mereka akan dilaksanakan penuh amanah, dedikasi dan rasa cinta. Maka, tidak akan timbul soal guru-guru yang terlalu 'berkira' dengan pengetahuan mereka. Semoga guru-guru kita mengambil iktibar dari apa yang berlaku dan terus berusaha menjadikan profesyen perguruan sebagai tugas yang tinggi dan mulia dalam masyarakat.

Friday, September 01, 2006

Jalan Sehala

Album : Jalan Sehala
Munsyid : Saujana

Tuhanku Maha Pengasih
Tuhanku Maha Penyayang
sebelum pun sempat tangisku jatuh ke bumi
rahmatNya menyambut[segera]
membisik bujukan penawar bersakti

apa lagi nak ku gusar
cinta Nya tak pernah gagal
hadir di kala ku sepi di kala ku bersedih

aku hanya berpegang janji
janji Nya kesungguhan yang pasti
pintu kemenangan
lorong bercahaya
langkah untuk ku pulang
jalan sehala

aduhai ibuku yang satu
janganlah ada barang ragu
biarpun seberkas dalam
andaiku terkorban nantisedang meniti kasih

Kibarkan Jalur Gemilang

MERDEKA!!!!

Alhamdulillah..hari ini, genap 49 tahun masihi Malaysia diisytiharkan merdeka. Negeriku tercinta, Sarawak Bumi Kenyalang menjadi tuan rumah sambutan hari kemerdekaan peringkat kebangsaan tahun ini. Dalam kesibukan seluruh rakyat di sekitar kawasan Kuching meraikan sambutan ini, bumi Lubnan baru sahaja aman dari hentaman Israel setelah gencatan senjata diisytiharkan.
Bulan kemerdekaan ini juga menyaksikan pelbagai peristiwa 'besar' yang menjadi tumpuan seluruh rakyat Malaysia. Daripada perkahwinan bintang terkemuka Malaysia, Siti Nurhaliza, peristiwa putus tunang artis paling popular Malaysia Mawi, isu murtad Lina Joy, hinggalah kepada pembentangan belanjawan 2007 semuanya menjadi tumpuan hangat kebelakangan ini.
Hati saya bertanya-tanya sendiri, apa agaknya reaksi Bapa Merdeka, Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan pejuang-pejuang kemerdekaan yang lain seandainya mereka melihat cara kita mengenang kemerdekaan negara. Apakah pula perasaan rakyat Palestin melihat keghairahan kita menyambut kemerdekaan ini.
Malaysia seperti biasa meraikan detik-detik 12 tengah malam 31 Ogos dengan sama-sama berkumpul dan melaungkan "merdeka" diiringi bunga api yang pelbagai warna. Dan seperti biasa seluruh warganegara akan dihidangkan dengan konsert ambang merdeka yang menyajikan pelbagai lagu yang kebanyakannya tiada kaitan langsung dengan kemerdekaan. Sambutannya amat meriah dan gah tapi penghayatannya entah ke mana. Dalam kesesakan dan keghairahan sambutan itu, ramai anak muda yang terdedah pada jenayah, gejala sosial dan bahaya.
Saya terfikir kembali, apa peranan kita dalam menghidupkan sambutan kemerdekaan ini? Bagaimana agaknya umat Islam perlu bertindak sebagai mensyukuri anugerah kebebasan yang telah Allah kurniakan? Perlukah kita terus-terusan begini walaupun hampir 50 tahun kita merdeka?
Saya bangga dengan keamanan Malaysia, saya bersyukur atas kemerdekaan ini, saya kagum dengan kemakmuran kita. Saya gembira mengibarkan jalur gemilang di rumah dan kereta. Saya amat bersetuju kita bercuti meraikan hari ini. Saya menyokong penuh perbarisan kemerdekaan yang penuh semangat.
Namun saya sedih kita masih terjajah dari segi pemikiran. Saya kesal generasi kita masih belum merdeka jiwanya. Kita masih seronok mencontohi budaya luar yang mencemar budaya murni kita. Kita maju dari luaran tetapi dalaman kita masih di takuk lama bahkan mungkin lebih teruk. Kita marah jika dianggap masih terjajah tapi kita merelakan diri kita terjajah. Dan yang paling menyedihkan kita sering lupa bersyukur atas nikmat merdeka ini.
Bukankah lebih baik jika kita menyambut kemerdekaan ini dengan meriah tetapi dalam lingkungan syariat dan tidak melupakan Tuhan. Bukankah lebih penting kita menerapkan rasa syukur kepada Allah dan cinta pada negara di hati daripada kita mengumpan rakyat berpusu-pusu ke konsert yang tiada faedahnya. Bukankah lebih manis kita mengajak rakyat bertafakur dan bersolat hajat memohon Allah menjadikan Malaysia sebagai negara yang diberkati dan penduduknya sentiasa dalam keampunan dan rahmat Allah.
Benarlah bahawa sesuatu nikmat itu amat payah disyukuri jika kita tidak merasai kesakitan dan kepayahan mendapatkannya. Saya takut jika Tuhan menarik balik kemerdekaan ini disebabkan murkanya Dia terhadap kekufuran insan terhadap nikmatNya.
Na'uzubillah...

Seindah Budi

Lenguh tangan kanan saya membimbit beg plastik berisi tikar getah yang baru dibeli mak. Mak pulak membimbit sebuah lagi beg plastik yang sama beratnya. Saya membimbit pula dengan tangan kiri. Tiba-tiba suatu suara menyapa dari belakang, "Apa yang awak bawa berat sangat tu?"
Baru sahaja ingin saya cari empunya suara tersebut, beg plastik di tangan saya sudah ditarik. Saya melihat seorang lelaki yang lebih kurang seusia ayah saya tersenyum tanda memohon keizinan untuk membantu. Belum sempat saya menegah, dia berjalan cepat pula ke hadapan menyambar beg plastik dari tangan mak. "Kereta awak kat mana?" tanyanya mesra. Pantas langkah saya mengejar lelaki yang baik hati itu menunjukkan arah kereta kami. Dengan kedua-dua belah tangan memegang beban yang berat dan berjalan dalam jarak yang agak jauh pasti memenatkan buat nya.
Sampai ke kereta sempat saya berkenalan dengan pakcik yang baik hati itu, Yaman namanya. Pertolongan Pakcik Yaman amat memberi kesan di hati saya walaupun telah berlalu beberapa hari. Meskipun tidak saling mengenali, atas dasar persaudaraan dan kasihannya, dia membantu meringankan beban kami.
Saya belajar sesuatu hari itu, bahawa budi dan akhlak yang indah pasti meninggalkan kemanisan dalam hati insan lain. Maka tidak hairanlah kenapa Rasulullah menjadi rahmat sekalian alam dengan menauladankan budi pekerti yang mulia yang bukan sahaja menjadi ingatan tetapi menjadi pengukuh kepada dakwah baginda.

Friday, July 21, 2006

Benarkah Cinta?

Hari ini telah masuk hari kedua bapak dimasukkan ke wad. Bapak kelihatan sihat, namun doktor bertegas mengarahkan bapak dimasukkan untuk pemeriksaan lanjut. Seluruh ahli keluarga bersedih. Mana tidaknya, inilah kali pertama bapak bermalam di wad. Apatah lagi, kami tidak dibenarkan bermalam di wad menjaga bapak kerana keadaannya yang baik. Kami semua tidak biasa melalui keadaan di mana bapak jauh dari pemerhatian kami. Bagaimana makan minum bapak, siapa yang menjaga ubat-ubatannya, siapa yang melayan nya. Mak lah yang paling sedih. Isteri manalah yang gembira bila berjauhan dari suami.
Semuanya ujian buat kami, semuanya menjadikan kami lebih bersungguh-sungguh menjaga bapak. Semuanya menduga kasih kami terhadap bapak. Ujian yang terlalu kecil jika dibandingkan dengan luas nikmatnya.
Saya bersyukur semuanya berlaku ketika saya masih ada kelapangan dan ruang untuk membantu dan menyokong. Bayangkanlah kalau saya telah mula bekerja atau berumahtangga, pasti berat untuk saya melaluinya.
Bukankah Allah hanya menguji orang yang benar-benar mampu?

Semanis Nina

"Assalamualaikum...." sapa gadis di hadapan saya ketika beratur di kaunter pembayaran di pasaraya . Senyuman manis terukir di wajahnya yang ramah. Riak wajahnya menggambarkan yang dia benar-benar mengenali saya. Terasa seolah-olah pernah berjumpa tapi di mana ya? Saya menjawab salamnya sambil cuba mengingati wajah itu.
"Awak ni siapa ye? Saya tak ingat lah...maaf....." ucap saya serba salah. Saya mengagak pasti gadis itu salah seorang daripada peserta program yang pernah saya kendalikan sebelum ini.
"Saya tak kenal awak, awak pun tak kenal saya," balasnya dengan senyuman. "Saya bagi salam sebab tengok awak pakai tudung," sambungnya.
Perkenalan kami bermula di situ. Walaupun dalam masa yang terlalu singkat, sempat juga bertukar-tukar nama dan bercerita serba sedikit. Namanya Nina, usianya baru 14 tahun. Walaupun perkenalan tersebut terlalu singkat, namun terasa kemanisannya. Hari itu, saya belajar manisnya ukhwah sesama saudara. Kerana ucapan salam yang penuh barakah, sebuah perkenalan tercipta.
Saya begitu tertarik dengan cara Nina menyapa saya yang penuh adab dan cukup indah. Itulah pertama kali saya disapa dengan salam ketika beratur di kaunter pembayaran. Saya sendiri jarang berbuat begitu terhadap orang lain. Biasanya saya hanya senyum bila bertembung pandang dengan saudara seagama di dalam keadaan sebegitu.
Kami berpisah selepas berbual selama 5 minit, tetapi perkenalan itu cukup terkesan di hati saya.

Wednesday, July 19, 2006

Ujian

Manusia jika tidak diuji entah apa jadinya. Rasulullah sebagai insan terhebat dalam sejarah peradaban manusia merupakan insan yang paling banyak diuji. Baginda diuji sejak kecil hingga wafatnya. Benarlah kata orang bijaksana, mutiara yang indah hanya diperoleh setelah susah payah menyelam ke dasar lautan. Ujian tanda teguran, peringatan,perhatian dan kasih sayang Tuhan. Apabila Allah menguji seseorang, tandanya Dia mahu yang terbaik buatnya. Kekasih pilihan Allah dihadiahi dugaan tanda kasih-Nya, tidak dibiarkan terlena dalam dakapan lazat melimpah tapi dihidangkan keperitan dan susah payah yang tiada sudah.
Sepanjang cuti saya selama dua bulan yang hampir ke penghujungnya ini, saya merasa kurang diuji dalam bentuk ujian yang biasa saya lalui. Tiada tekanan pelajaran dan pensyarah, tiada debaran menghadapi peperiksaan, tiada masalah dari teman-teman yang biasa saya hadapi dan dengari dan tiada kerisauan tentang perbelanjaan di kampus.
Saya lebih akrab dengan keluarga (setelah sering berjauhan), saya berpeluang menemankan ayah dan ibu berjumpa doktor, saya lebih akrab dengan masyarakat sekitar kejiranan kami dan saya berpeluang untuk mendapatkan nasihat dan rawatan untuk diri saya sendiri yang sering saya abaikan sebelum ini.
Saya juga diuji dengan masalah kesihatan insan kesayangan saya, bapak. Alhamdulillah, semuanya berlaku pada cuti ini dan saya berpeluang menemani dan mengikuti perkembangan kesihatan bapak. Saya rasa teruji dengan pelbagai masalah kesihatan yang menimpa bapak satu demi satu. Sungguhpun keadaan bapak kelihatan sihat, saya sebagai orang yang belajar dalam ilmu perubatan merasai kebimbangan yang agak berlebihan terhadap bapak.
Bapak terpaksa menelan banyak jenis ubat setiap hari, terpaksa kerap mengikuti 'follow-up' di klinik, terpaksa berpantang dalam makan minum nya dan terpaksa menahan kesakitan disuntik setiap hari untuk memastikan kesihatannya pada tahap yang optimum. Kasihan bapak, baru sahaja mulai sembuh dari satu penyakit, datang pula masalah yang lain.
Saya tidak mengeluh, tidak pula kesal. Cuma rasa simpati yang bertandang melihat bapak berdepan dengan keadaan ini sering menyentuh hati saya. Namun, saya mendapati hikmah yang besar daripada apa yang ditentukannya ini. Segala puji bagi Allah, ketetapan-Nya pasti mengandungi kasih sayang-Nya. Di sinilah kasih sayang kami sekeluarga teruji, bagaimana perhatian dan kasih kami terhadap bapak lebih daripada biasa. Kami menjadi lebih kerap berdoa agar Tuhan melindungi bapak dari kesakitan dunia dan akhirat.
Saya banyak belajar dari keadaan yang menimpa bapak untuk berhadapan dengan profesyen saya kelak. Saya menyelami hati seorang pesakit yang merasa berat untuk konsisten dengan rawatan yang diberi kerana terlalu banyak ubat yang terpaksa diambil dan kerana kesan sampingan ubat yang tidak sanggup dihadapi. Saya memahami kerisauan ahli keluarga pesakit yang mengharapkan penjelasan dan dan jaminan dari doktor tentang masalah orang yang mereka sayangi. Saya memahami kesusahan yang dilalui oleh pesakit dan ahli keluarga untuk mendapatkan bantuan perubatan. Saya belajar akan besarnya kasih sayang yang Allah ciptakan!
Inilah sekolah hidup yang Allah aturkan. Dia mengajar banyak perkara agar kita sedar dari kelalaian, agar kita dapat mengubah diri, agar kita menyantuni kekurangan orang lain, agar kita tunduk dan akur akan lemahnya kita sebagai hamba-Nya!

Friday, July 14, 2006

Jalan Lain Ke Sana

Sewaktu cuti selepas tamat pengajian ini, saya berkesempatan menonton siaran ulangan drama bersiri Jalan Lain Ke Sana setiap hari Isnin hingga Khamis jam 8 pagi di Saluran Prima ASTRO. Drama bersiri selama 45 minit ini mengisahkan kegigihan seorang guru agama desa bernama Zakaria @ Ustaz Jaka dalam menyampaikan dakwah islamiyyah terhadap masyarakat Jakarta.
Sungguhpun drama ini hampir sama seperti drama lain yang biasa disiarkan di kaca televisyen, apa yang berbeza dan menarik hati saya ialah watak Ustaz Jaka tersebut yang dipaparkan sebagai pendakwah yang mempunyai perwatakan daie yang cukup menarik dan mendekati mad'unya dengan pendekatan yang efektif.
Jika dilihat dari sudut akhlaknya, Ustaz Jaka ini seorang yang lemah lembut, sering membantu, penyabar, jarang marah dan pemurah. Jika dilihat dari kehidupan peribadinya, Ustaz Jaka pula seorang yang cukup sederhana dan boleh dikatakan agak kurang berada. Namun beliau tetap menjalankan hidup dengan amanah, bertanggungjawab malah sentiasa mengawasi segala tindak tanduknya agar tetap dalam lingkungan syariah.
Akhlak mulia seorang daie di zaman moden ini jelas tergambar pada kehidupan harian Ustaz Jaka yang dipaparkan dalam drama ini. Saya selaku penontonnya merasakan terkesan dengan kisah dan watak yang dibawa dan sehingga kini masih merasa berat mencontohi peribadi semurni itu. Jika contoh dalam drama rekaan manusia itu payah untuk diikuti, betapalah payah lagi untuk menyusuli sunnah dan peribadi Rasulullah s.a.w. yang pasti jauh lebih hebat dari ini.

Thursday, July 13, 2006

Jangan Mudah Melatah, Koreksilah Diri

Bayangkan diri anda dalam situasi menerima seorang tetamu yang tidak anda kenali dan dihina dengan perkataan biadap atau kurang ajar oleh tetamu anda tadi. Apakah agaknya reaksi anda? Saya rasa pasti sebahagian besar daripada kita akan berasa tidak puas hati lantas bertindak dengan pelbagai reaksi daripada berubah mimik wajah kepada membalas hinaan itu dengan makian yang berganda-ganda teruknya. Siapalah yang suka dituduh biadap?
Begitulah agaknya respon rakyat Malaysia terhadap kajian yang dilakukan oleh majalah Reader’s Digest baru-baru ini yang meletakkan Kuala Lumpur pada tempat ketiga sebagai bandar paling biadap di dunia. Tempiasnya pasti terkena pada setiap rakyat Malaysia kerana Kuala Lumpur sebagai ibunegara yang kita banggakan itu pasti dipandang jengkel oleh seluruh dunia.
Ramai yang mempertikaikan kesahihan dan nilai akademik laporan tersebut dan tidak kurang juga yang membuat perbandingan dengan negara lain yang dianggap lebih layak memegang tempat tersebut. Ada juga yang menganjurkan agar dibakar sahaja majalah Reader’s Digest tersebut! Saya sendiri turut terkesan dengan laporan tersebut dan hampir-hampir tidak dapat menerima hakikatnya. Apa tidaknya, ramai orang sedia maklum bahawa rakyat Malaysia merupakan masyarakat yang cukup terkenal dengan budi bahasa dan sopan santun. Mana mungkin menjadi masyarakat yang biadap!
Namun begitu jika dilihat dari sudut positif, laporan tersebut adalah cukup baik untuk mengkoreksi diri. Saya bersetuju dengan pernyataan Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bahawa laporan itu setidak-tidaknya membuat kita berfikir untuk memperbaiki diri. Inilah masanya setiap rakyat Malaysia menilai kembali nilai akhlak dan moral masing-masing, adakah setiap diri kita telah benar-benar bersikap sopan santun atau tidak biadap.
Saya yakin dari pengalaman peribadi masing-masing, pasti sedikit sebanyak mengakui hakikat kebiadapan sesetengah rakyat Malaysia. Mungkin ramai antara kita yang pernah berurusan di kaunter-kaunter bank, kedai, pejabat dan pusat kesihatan awam dan mendapat layanan yang buruk. Ada yang ditengking, dimarahi, disambut dengan wajah masam mencuka dan pelbagai lagi layanan yang tidak wajar.
Tidak perlu melatah dengan fakta ini, namun harus ditelusi dengan hati yang jujur dan minda yang terbuka. Perubahan ini haruslah dimulai dari setiap diri kita. Bermula dari mengakui kesilapan, menundukkan ego kita dan seterusnya mencari rujukan dan sumber sebagai panduan untuk diikuti. Contoh akhlak dan nilai murni yang baik telah tersergam di hadapan mata kita.
Renunglah kembali sirah Nabi Muhammad s.a.w, kita pasti menemui untaian mutiara berharga yang dapat dijadikan ikutan dalam membentuk peribadi diri. Jika sunnahnya itu benar-benar dihayati oleh rakyat Malaysia, pasti tiada lagi pertikaian yang akan timbul terhadap kesantunan kita.
Lima prinsip rukun negara juga harus diambil serius dan disemat di dalam hati bukan sekadar ayat yang wajib dilafazkan pada setiap perhimpunan sekolah kemudian dibuang jauh-jauh setelah tamat belajar. Andainya setiap warganegara benar-benar menghayati (bukan sekadar menghafal) prinsip rukun negara yang ke lima iaitu “Kesopanan dan Kesusilaan”, pasti akan terbentuk masyarakat yang bukan sahaja kaya dengan kesopanan dan tatasusila, tapi turut aman dan harmoni.
Kempen budi bahasa dan menghayati lima prinsip rukun negara yang diwar-warkan di media cetak dan elektronik bukan hanya sekadar tontonan dan bahan hiburan tetapi perlu direnung dan diaplikasikan dalam kehidupan kita. Jika kita sendiri masih tidak bersedia mengubah akhlak dan tatsusila kita, maka janganlah marah jika dituduh kurang ajar atau biadap.

Friday, July 07, 2006

DIA

Dia tidak pernah belajar di mana-mana universiti, tidak pernah pula berguru dengan mana-mana ilmuwan terkemuka. Pendidikannya hanya setakat sekolah rendah yang berhenti separuh jalan kerana desakan keluarga. Tetapi ideanya melebihi seorang yang bertaraf professor, nasihatnya lebih berkesan daripada kaunselor terkemuka, dorongan darinya lebih hebat dari pakar motivasi terkenal.
Dia dan kehebatannya lahir dari keperitan hidup yang dilaluinya. Bahkan saya juga lahir dari kesukaran demi kesukaran yang telah ditempuhinya. Saya membesar dalam menyayangi, menyanjungi dan menghormatinya. Dialah yang mencorak sebahagian besar dari kehidupan saya. Dialah yang diperintahkan oleh Tuhan dan Nabi untuk saya kasihi, pelihara dan cintai selepas keduanya. Dia layak menerima hamparan kasih itu atas pengorbanan dan kesusahannya meskipun apa yang saya hulurkan padanya tidak setanding sedikitpun dengan kasihnya.
Saya masih ingat tika zaman kanak-kanak saya, Mak mengambil upah menjahit untuk membantu ayah menyara kehidupan kami. Mak penuh kesungguhan dan ketabahan berusaha untuk menghapus kemiskinan dan kejahilan yang diwarisinya dari keluarga.
Saya, kakak-kakak dan adik-adik jarang sekali merasa makanan ringan seperti kanak-kanak lain seusia kami, jarang pula mendapat duit belanja sekolah. Yang kerap kami bawa ialah nasi goreng kosong atau telur dan air sirap. Kadang-kadang kami dibekalkan 20 sen untuk membeli nasi lemak jika tiada apa untuk dibekalkan dari rumah. Di rumah pula, kami adik beradik makan tengahari dan makan malam dengan berkongsi dalam satu mangkuk besar yang sejak kecil saya rasakan amat seronok. Cuma setelah saya dewasa baru saya mengerti niat Mak untuk berjimat cermat. Tapi, Mak akan memastikan yang kami makan makanan yang berzat pada waktu yang ditetapkan.
Mak bukannya tidak berduit, bukan pula kedekut. Tetapi wang hasil jahitannya disimpan untuk membeli buku-buku pelajaran buat kami. Hasilnya, seawal usia 4-5 tahun kami telah mahir membaca. Seawal zaman kanak-kanak kami, Mak juga telah memperkenalkan Al-Quran kepada kami. Hasilnya along khatam Al-Quran seawal usia 7 tahun disusuli adik-adiknya pada zaman sekolah rendah.
Mak adalah buah hati kami adik-beradik. Dialah yang kami cari tika sakit dan sedih kami, dialah yang kami rindui dan kenangi bila berjauhan, dialah yang kami sebut-sebutkan dalam doa kami. Ketika kecil, dia merendahkan dirinya ibarat anak kecil untuk bermain dengan kami. Ketika sudah mengenal kehidupan, dialah tempat kami mencurah rasa apabila bermasalah dan berhajat. Dia lah yang bersedia mendengar tangisan dan pengaduan kami serta menghampar kata-kata keramat untuk memujuk dan mengembalikan semangat kami. Dia akan berusaha sedaya nya memenuhi keperluan kami. Dia sanggup menahan kehendak hatinya demi memuaskan hati kami.
Mak jugalah insan yang paling kami takuti ketika kecil kami. Dia akan memukul kami jika kami bergaduh, bermain hingga lewat pulang ke rumah atau mengabaikan kerja rumah. Bukan kerana marah atau benci tetapi kerana inginkan kami belajar dari kesilapan itu dan tidak mengulanginya. Dia akan berleter dan menghukum jika kami gagal mendapat kedudukan tiga teratas di dalam kelas. Hasilnya, saya dan adik-beradik membesar sebagai insan yang sentiasa ingin menang dan tidak mahu mengalah.
Mak membesarkan kami dengan menghantar kami berjauhan darinya. Lima daripada enam orang anaknya dihantar ke sekolah berasrama untuk mendapat pendidikan yang sempurna dan hidup yang lebih teratur. Saya memasuki sekolah menengah agama berasrama dengan penuh gembira dan bersemangat. Tidak terlintas di hati saya di sebalik kesibukan dan keceriaan Mak membuat persiapan untuk kami, hatinya terluka kerana akan berjauhan dari buah hati yang amat dicintainya. Cuma setelah saya agak dewasa ketika mengimbau kembali bagaimana saya terlihat derasnya air mata Mak mengalir ketika menjahit baju kurung untuk dibawa Angah ke sekolah berasramanya di Kedah, saya faham akan ertinya.
Mak insan yang nampak kuat di luar tapi hatinya penuh kelembutan dan mudah tersentuh. Mak akan mengalirkan air mata tiap kali kami mendapat hadiah di majlis penyampaian hadiah pada hujung tahun. Mak menangis tiap kali selepas mendengar khabar kami mendapat keputusan yang cemerlang.
Kami adik beradik tidak pernah menentang arahan dan kata-kata Mak dan ayah. Kami terdidik dalam mengiakan segalanya. Pada zaman kanak-kanak, kami mentaati Mak kerana takutkan kemarahannya, namun setelah dewasa kami lakukan kerana memahami itulah suruhan Allah dan kerana kami menyayangi mereka.
Pernah sekali saya merajuk hati pada Mak kerana tidak menyetujui hasrat saya untuk menyambung tingkatan empat dalam jurusan Sains Kejuruteraan. Hati saya memberontak kerana menyangka Mak tidak memahami cita-cita saya. Saya diam sahaja di depan Mak tetapi menangis sendirian di dalam bilik membantah kemahuan Mak.
Namun saya turuti nasihat Mak meneruskan pelajaran dalam jurusan Sains Tulen. Dari situlah bermula minat dan impian saya ingin menjadi seorang doktor. Dan kini setelah lapan tahun berlalu, saya telahpun lulus ijazah doktor perubatan dan bakal bertugas dalam profesyen yang amat saya cintai ini. Itulah Mak yang dulu saya anggap tidak memahami tetapi lebih jauh pandangannya hingga dapat melihat masa depan saya.
Siapakah lagi insan yang saya pernah temui yang lebih hebat berkorban tenaga, masa, hidup malah nyawanya untuk saya daripada Mak? Siapakah yang telah bersusah payah untuk saya sejak saya melihat dunia hingga kini lebih daripada Mak? Siapakah insan yang wujud dalam kehdupan saya ini lebih mencintai saya daripada cinta yang telah Mak curahkan? Tiada sesiapa yang mampu menandinginya.
Maha Suci Allah, yang telah memerintahkan saya untuk mencurahkan cinta yang paling besar buat Mak selepas cinta pada-Nya dan Rasulullah. Mak terlalu layak menerima penghormatan dan kecintaan sebesar itu kerana dialah yang dengan izin Allah menjagai saya dengan sepenuh penjagaan dan menitipkan nama saya dalam setiap doanya dan menyertakan saya dalam ingatannya.
Dalam 24 tahun usia saya, saya sering terfikir adakah saya telah benar-benar melayani dan mengasihi Mak seadanya. 10 tahun usia saya berlalu dengan berjauhan dari Mak kerana menuntut ilmu. Antara semua adik beradik, saya lah yang jarang berada di rumah kerana tuntutan pelajaran yang jarang sekali bercuti. Kadang-kadang bila bercuti sekejap, saya sibuk pula dengan program pelajar dan kemasyarakatan.
Saya buta menyelam rasa hati Mak yang ingin kami sentiasa di sisinya. Semuanya tidak saya sedari hinggalah pada suatu hari Mak bercakap dari hati ke hati dengan saya, tentang harapannya untuk melihat anak tercintanya di sisinya bila sekali sekala bercuti. Betapa berdosanya saya kerana dalam usaha saya ingin berbakti pada masyarakat, saya telah mendukakan permata hati saya.
Seharian saya duduk berfikir menyesali tindakan saya yang tanpa saya sedari membuat Mak bersedih. Betapalah saya dalam kesempatan yang saya sendiri belum pasti ini, gagal menyenangkan hati Mak. Entah esok lusa adakan lagi peluang buat saya. Hati saya menangis menyesali dan saya berazam untuk menggunakan kesempatan ini sepenuhnya untuk menggembirakan hati mak dan ayah biarpun saya terpaksa mengorbankan perasaan dan diri saya kerana itulah yang telah diperintahkan oleh Tuhan kepada saya.
Ya Allah Yang Maha Pengasih, bantulah saya selagi ada usia ini untuk berbakti seikhlasnya dan mencurahkan cinta saya pada Mak. Lindungilah saya daripada melakukan perkara yang menyakitkan dan mendukakan hati Mak. Berilah saya kekuatan untuk mengatur tindak tanduk saya dalam lingkungan yang diredhai oleh Mak. Kasihanilah Mak kerana telah mengasihi saya hingga saya dapat berdiri tegak sebagai saya yang sekarang
.

Wednesday, May 24, 2006

Bersama Mu

Bersama-Mu...
terasa dalam dakapan kelembutan
umpama bayi tenang di pelukan
hidup tanpa ketakutan penuh perlindungan
dalam kudus kasih-Mu yang mendamaikan

Bersama-Mu...
setiap langkah terpandu
segala pencarian ketemu
semua kesedihan berlalu
dengan nur kasih pancaran-Mu

Bersama-Mu...
terasa gagah dalam lemah
terasa mudah dalam payah
terasa indah dalam susah
bersama-Mu segala mehnah kutemui miftah

Bersama-mu...
kutemui segala jawapan
yang melerai segala kekusutan
yang melegakan segala kegundahan
yang menghapuskan kecewa menjanjikan harapan

oh indahnya...bersama-mu Tuhan....

Seuntai Kasih Buatnya

Entah kenapa..
cinta yang tertanam saban hari dalam hatiku
semakin subur dibajai waktu
kalau dulu kuterjemah cinta itu
hanya dengan rengekan manjaku
tapi semakin bertambah usiaku
semakin dalam terasa kasihku

Maha Suci Engkau Tuhan yang menjadikan
tidak lengkap hari-hari yang berlalu tanpa mengingatinya
tidak berlalu pun satu mingguku tanpa disapa lembut bicara dan lunak suaranya
tidak kebah demam dan sembuh sakitku tanpa penawar sentuhannya
tidak hilang resah gundahku tanpa pujukan sakti dari jiwanya yang pengasih

Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih
aku jatuh cinta lagi padanya
dialah yang dengan sepatah katanya bisa membuat hatiku menjadi manja
dialah sahaja insan yang dengan izin-Mu cepat bertanya sebelum sempat ku luah kesempitanku
dialah yang dalam masa lemah langkahku membakar semangatku untuk terus berjuang
dialah jua yang dalam pujuk dan leternya tetap menyiram jiwaku yang gersang

Terima kasih Tuhan
kerana dengan kasih-Mu kurniakan aku suatu kasih sejati
yang menjadikan aku sentiasa dalam ketenangan
yang membuat jiwaku rasa dimanjai dan dikasihi
yang membantuku untuk kuat berjuang
yang dengan hamparan kasihnya membawaku ke puncak ini

Peliharalah aku wahai Tuhan...
agar tidak sekali-kali ku berpaling darinya
tidak jua menyakiti apatah lagi mengecewakannya
izinkanlah aku dalam ruang dan waktu yang terbatas ini
melimpahkan bahagia buat ibuku
menjadi syafaat buatnya di sana...

Doa

Tuhan...
Taburilah dataran hatiku dengan benih keimanan
Agar bercambah di sini pohon ketaqwaan
dan tak gersang ia menjadi gurun kekufuran

Tuhan...
Pagarilah taman jiwaku dengan gerigi muraqabah
Agar mekar di sana bebunga mahmudah
dan tak rosak ia diragut mazmumah

Tuhan...
Ikatlah nafsuku dengan tali cinta-Mu
Agar ia tunduk taqarrub selalu
dan tak lepas kepada kasihkan dunia-Mu

Tuhan...
Siramilah aqalku dengan tafakkur
Agar pepohon ilmu dan makrifah di lamannya tumbuh subur
dan tak henti membuahkan syukur

Tuhan...
Kurniakanlah padaku khusyuk dan redha
Tenggelamkanlah hatiku dalam lautan cinta-Mu
Agar tunduk hati dan akalku pada kuasa-Mu
dan Kau terimalah kembaliku dalam redha kasih-Mu