Mabuk Cinta Halal

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Thursday, January 21, 2010

Talama Ashku Gharami

English Translation

How long will my heart ache for my Beloved
O you light of the universe
And call out you o Tihami
O you treasure of goodness?

My utmost wish and desire
Is that I may attain to the vision
And see the door of paradise
O you purifier of efforts!

O you crown of creation
I am engrossed with longing and desire
A lover, whose art is praise (of the beloved)
O you full-moon of perfection!

Lift away the burden from me
Love has consumed me and made me weak
To you I put my hope
O you holder of lofty promises!

O you guiding lights of the Prophets
You most highly honoured
O you the leader of God fearing
My heart melts (in front of you!)

Malay Translation

Lama sudah aku menanggung rindu
Wahai cahaya alam yang indah
Serta aku menyeru, wahai Nabi
Wahai punca ilmu yg pemurah

Impianku setinggi tinggi cita-cita
Moga dapat diberikan tuah dapat melihatmu
Juga melihat Bab al Salam (di Masjid Nabawi)
Wahai sesuci suci insan

Wahai hiasan dunia ini
Aku amat cinta dan rindu padamu
Hanya pujian menjadi persembahanku
Wahai bulan mengambang penuh

Jauhkanlah segala penghalangku daripadamu
Yang ku pendam hanya kerinduan terhadapmu
Padamu aku bersangka baik
Wahai yang benar pada janjinya

Wahai pelita sekalian Rasul!
Wahai insan yang mempunyai setinggi-tinggi kedudukan!
Wahai imam orang - orang yang bertaqwa!
Sesungguhnya hatiku terpaut padamu

Ke atasmu, moga Allah mencurahkan rahmat
Tuhanku yang mempunyai keagungan
Cukuplah wahai cahaya Bulan!
Sesungguhnya perpisahanku denganmu telah terlalu lama

Allahumma solli a'ala saidina muhammad s.a.w!

Tuesday, January 12, 2010

Pernahkah?

Wahai diri, pernahkah kau menyedari betapa beruntungnya dirimu jika kau mengetahui hakikat kehidupanmu dan menelusi limpahan kasih Tuhan buatmu?

Pernahkah kau menyedari betapa banyak kebaikan dan keajaiban yang berlaku dalam hidup-Mu sedangkan tak pernah kau meminta dari-Nya dalam doamu.

Pernahkah kau menyedari betapa banyaknya harapan jua permintaanmu yang kau lafazkan atau yang terpendam di hatimu diperkenankan oleh Nya tanpa syarat.

Pernahkah kau menyedari biarpun doamu tidak terjawab seperti yang kau minta dan rayu, Dia telah menggantikanya dengan sesuatu yang lebih baik dari itu untukmu.

Pernahkah kau menyedari akan besarnya limpahan kebaikan yang menyelimuti hidupmu atas sifat Kasih-Nya, sedang terlalu sedikit kesyukuran yang kau sembahkan pada-Nya.

Pernahkah kau menyedari betapa sedikitnya kesulitan yang kau rasai berbanding lautan kesenangan yang kau kecapi dan kau masih merungut dan tidak sabar menghadapinya.

Pernahkah kau menyedari akan seringnya kesulitanmu yang sedikit itu digantinya dengan kesenangan yang kau raikan dan kau masih selalu melupai-Nya.

Pernahkah kau menyedari betapa sedikit zikirmu, syukurmu, amalanmu yang kau hamparkan buat-Nya sedangkan Dia masih setia memberi dan memberi padamu.

Pernahkah ada sesiapa yang mengasihimu sehebat kasih-Nya, menjagamu seperti penjagaan-Nya, bersabar denganmu seperti sabarnya Dia?

Wahai diri, zahirkan syukurmu dengan hati, dengan merasa qana’ah (memadai) pada yang diberi-Nya baik ia menepati keinginanmu atau tidak, dengan merasai kehebatan kasih-Nya dalam setiap yang kau lalui, dengan tidak mempersekutukan-Nya dengan apa pun.

Wahai diri, zahirkan syukurmu dengan lidah, dengan hamdalah dan tasbih memuji nama-Nya, dengan berkata baik sesama saudaramu, dengan menahan lidahmu dari mengeji manusia, dengan menyampaikan nasihat dan kata dorongan pada saudaramu.

Wahai diri, zahirkan syukurmu dengan anggota, dengan menggunakannya untuk beribadat khusus pada-Nya, dengan membantu saudaramu yang memerlukan, dengan menjadikan dunia penuh dengan kebaikan, dengan mengisi harimu untuk perjuangan.

Wahai diri, sedarlah....

Sunday, January 10, 2010

Wahai Gadis, Selamatkan Dirimu!

Kebelakangan ini, saya didatangi beberapa kes rogol yang melibatkan gadis bawah umur yang dirujuk pihak polis untuk pemeriksaan fizikal. Rata-rata kes tersebut melibatkan suspek yang dikenali oleh mangsa, dan mangsa-mangsa rogol tersebut dengan rela hati menerima ajakan atau pujukan suspek untuk ke tempat-tempat sunyi di mana akhirnya mereka diajak melakukan hubungan seks secara paksa. Sebelum ini juga, saya pernah menerima kes mangsa yang melakukan seks secara sukarela dengan teman lelaki tetapi diklasifikasikan sebagai rogol kerana mangsa masih di bawah umur.

Perasaan saya bercampur baur. Pertama, saya jijik dan marah pada lelaki yang menuruti kejahatan hawa nafsu mereka dan mengambil kesempatan terhadap gadis-gadis tersebut. Saya jadi seram dan takut memikirkan bahawa betapa banyak bahaya menanti wanita akibat kerakusan lelaki.

Kedua, saya sangat kasihan dengan nasib yang menimpa gadis-gadis tersebut, dalam usia yang sangat muda sudah dilanda trauma akibat dirogol. Lebih malang lagi, ada yang mengandung anak luar nikah akibat jenayah tersebut. Dan lebih menakutkan saya, ia menyebabkan pelbagai masalah sosial lain seperti pengguguran dan pembuangan anak.

Ketiga, lebih daripada rasa kasihan saya, dalam masa yang sama merasa sangat-sangat marah dengan ‘kenaifan’ gadis-gadis tersebut. Haruskah saya salahkan suspek semata-mata jika pada awalnya gadis-gadis tersebut telah ‘merelakan’ diri mereka terjebak dalam jenayah itu dengan merelakan diri mengikut lelaki tersebut.

Wahai gadis, janganlah terlalu naif. Tidakkah kalian tahu bahawa Allah melarang mendekati zina melalui pergaulan bebas dengan bersebab? Allah Maha Tahu bahawa hubungan terlarang antara lelaki dan perempuan akhirnya akan melorongkan mereka ke lembah penzinaan sama ada secara rela atau paksa. Maka, janganlah kerana ‘cinta’, kau biarkan maruahmu tergadai. Janganlah kerana ‘sayang’, kau biarkan masa depan mu terbengkalai.

Wahai gadis, Allah telah mensyariatkan kaum wanita untuk menutup aurat dengan sempurna serta menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. Allah Maha Tahu yang terbaik untuk hamba-Nya, iaitu melalui syariat-Nya sahaja manusia akan selamat dari terjebak ke lembah kehinaan. Maka, janganlah kau melanggar syariat penutupan aurat yang telah diperintahkan-Nya. Jika kau masih sombong melanggar syariat-Nya, janganlah kau melenting jika disalahkan dirimu punca kepada kebinasaanmu sendiri.

Wahai gadis, hijablah pakaianmu dengan menutup aurat sepertimana yang diperintahkan-Nya, dan hijablah hatimu dengan mengerjakan solat serta memperbanyakkan mengingati-Nya. Selamatkan dirimu dari diperdaya manusia durjana dengan mentati perintah-Nya nescaya kau akan selamat jua di akhirat sana.

Wahai ibu bapa, didiklah anak-anak kalian. Ajarkan padanya akan bahayanya biusan hawa nafsu. Nasihatlah mereka supaya menjaga aurat dan pergaulan. Peringatilah mereka akan akibat daripada melanggar syariat. Laranglah mereka menuruti kebebasan. Marahlah mereka jika syariat dibelakangkan. Apakah sayang kalian hanya pada menuruti kehendak mereka, tanpa gusar memikirkan keselamatan jua nasibnya di ‘sana’? Apakah kalian rela menyaksikan mereka hancur di dunia yang fana ini dan tersiksa di neraka akhirat?

Wahai gadis, selamatkanlah dirimu!

Monday, January 04, 2010

Allah (Lagi)

Oleh: Faisal Tehrani (http://tehranifaisal.blogspot.com)

1. Saya pernah menulis mengenai kalimah Allah di blog ini (lihat sini). Intinya saya tidak bersetuju kalimah tersebut dibenarkan untuk kegunaan penganut agama selain Islam.

2. Kalimah Allah bukan sahaja bererti Tuhan. Ia membawa sama 'nilai kesucian' yang tersendiri buat penganut agama Islam. Kerana itulah seseorang muslim dalam keadaan janabah misalnya tidak akan memegang (ayat-ayat suci) al-Quran. Kerana itulah jika kita terserempak keratan kertas bertulis 'Allah, Nabi Muhammad' di atas jalan, kita akan mengutipnya, dan cara untuk melupuskan keratan itu selalunya kita membakar ia sehingga musnah. Pendek kata Allah bukanlah semata-mata 'Tuhan'. Ia membawa 'keberatan' atau weight yang lebih mendalam.

3. Kebenaran penggunaan kalimah Allah buat penganut agama lain akan memberi kesan dalam bahasa Melayu juga. Bayangkan Allah dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud 'Tuhan Yang Esa' terpaksa dirombak, tunduk menurut ajaran Kristian dengan sisipan ayat contoh kedua: (Astaghfirullah) Jesus adalah anak Allah. Kita juga mungkin (terpaksa) merujuk gereja sebagai 'sebuah lagi rumah Allah'. Ini kerana bukan sahaja masjid lagi dapat dirujuk sebagai 'rumah Allah'.

4. Jika Allah hanyalah satu kalimat bermaksud Tuhan, maka orang Islam (Muslim India dan Melayu) Singapura tidak akan turun ke jalanraya satu masa dahulu untuk mempertahankan akidah Natrah. Kita juga tidak perlu berheboh-heboh mengenai Nur Aishah Bukhari, tidak berheboh-heboh mengenai Lina Joy. Jadi, Allah adalah lebih dari Tuhan.

5. Seperti yang pernah saya sebutkan, mintalah pendita Kristian menyelak Bible (yang asal Vatican) mereka dan tunjukkan di mana ada kalimah Allah?

6. Sebenarnya Vatican sendiri menolak pengunaan kalimah Allah untuk merujuk Tuhan. Pernahkah anda mendengar Pope Benedict (pendita rujukan penganut Katolik sedunia) misalnya menggunakan kalimah ini dalam khutbah atau misa beliau? Ini kerana dalam "Declaration on the Relation of the Church to Non-Christian Religions, The Second Vatican Council, Promulgated by His Holiness Pope Paul VI, October 28, 1965' telah pun menyatakan Allah dan Tuhan Kristian berbeza.

7. Konsili Vatican Kedua tersebut menyatakan dengan terang-terang bahawa Allah dalam al-Quran (Islam) berbeza dengan Tuhan yang digambarkan oleh kitab Bible rujukan penganut Kristian. Penyataan Konsili tersebut bermula dengan kata-kata penghormatan buat muslim tetapi menegaskan yang dalil-dalil dari Al-Quran dan Bible tentang 'Tuhan' adalah bertentangan.

8. Penyataan konsili itu menyebutkan:

Ayat dari Bible '2 John 1:9 Whosoever transgresseth, and abideth not in the doctrine of Christ, hath not God. He that abideth in the doctrine of Christ, he hath both the Father and the Son'.

Surah 19:88 They say: "(Allah) Most Gracious has begotten a son!" 89 Indeed ye have put forth a thing most monstrous!"

- Yang bermaksud - 'Dan mereka berkata: Tuhan Yang Maha Pemurah mempunyai anak. Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar.'

Sila rujuk surah Maryam ayat 88 dan 89.

9. Terdapat banyak ayat-ayat perbandingan lain dari Bible dan Quran lagi dikemukakan dan Declaration on the Relation of the Church to Non-Christian Religions, The Second Vatican Council, Promulgated by His Holiness Pope Paul VI, October 28, 1965' itu secara tegas menolak penggunaan kalimah Allah untuk orang Kristian. Ini kerana Vatican sendiri menyatakan; Allah menurut Islam tidak punya anak. Sedangkan dalam agama Kristian, Allah punya anak (Astaghfirullah).

10 Oleh kerana Vatican sendiri menolak penggunaan kalimah Allah untuk penyebaran agama Kristian; maka kita tertanya-tanya apakah sebabnya Kristian di Malaysia beria-ia dan bersungguh-sungguh mahu menggunakan kalimah Allah dalam gereja dan dalam akhbar mereka?

11. Umat Islam dari apa jua parti dan jalur mesti bersatu untuk mendepani 'kekeliruan' yang boleh tercetus akibat dari 'insiden/tuntutan aneh' ini. Sila berhenti menyalahkan satu sama lain dan sila berhenti menunjukkan yang kumpulan atau parti anda lebih (kononnya) terkehadapan dalam memperjuangkan isu ini. Ulama dan tokoh politik Islam yang menyokong penggunaan kalimah Allah buat orang Kristian eloklah bertaubat.

Kita berharap Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja akan peka dengan isu yang boleh menjadi api dalam sekam ini di tengah-tengah usaha untuk kita memelihara keharmonian bangsa-bangsa Malaysia.

12. Menurut Islam, kalimah Allah mestilah sentiasa digandingkan dengan kalimah Muhammad kekasih-Nya. Saya tidak dapat membayangkan kalimah Allah digandingkan dengan kalimah Jesus 'selaku anaknya'. Bolehkah anda selaku seorang Muslim (tidak kiralah saudara ahli UMNO, PAS atau PKR) menerimanya?

Wednesday, December 16, 2009

Apa yang telah ku lakukan?

“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa mereka, lebih besar derajatnya disisi Allah. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan menggembirakan mereka dengan rahmat dan keredaan-Nya dan syurga-syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang abadi, mereka kekal di dalamnya. Sesungguhnya Allah pada sisi-Nya pahala yang besar.” (At-Taubah:20-22)

Saya terlalu sibuk kebelakangan ini, sibuk sendiri, sibuk yang saya khuatiri tidak berisi. Sibuk dengan tugas baru saya sebagai pengarah hospital, sibuk menyelesaikan isu-isu pentadbiran hospital yang tak pernah sudah, sibuk dengan masalah disiplin kakitangan, sibuk membiasakan diri sebagai seorang isteri dan menantu, juga sibuk menguruskan hal ehwal keluarga yang turut berubah baru-baru ini bersama bertukarnya status baru saya.

Tahun 1431 Hijrah dan 2010 Masihi kian menjengah. Saya tiba-tiba tergerak untuk menjengah fail lama Azam 1430 yang tersimpan kemas dalam laptop saya, melihat kembali azam dan pelan lama saya, terkedu mendapati jua menyedari bahawa saya telah melalui tahun 1430 dengan semua azam saya yang tidak tercapai sempurna. Saya merasa sedih dan malu sendiri memikirkan apakah yang telah saya capai sepanjang tempoh setahun ini.

Jika di hujung tahun semua kakitangan kerajaan sibuk mencatat penilaian serta sasaran kerja tahunan, adakah kita sibuk menilai prestasi iman kita, atau adakah kita punyai sasaran pada awalnya? Adakah berlalunya tahun ini tidak menyentak hati walau sedikitpun untuk kita muhasabah diri? Adakah terlintas hati kita untuk memperbaiki diri dan adakah kita berusaha ke arahnya?

Saya menilai kembali, banyak yang telah berubah dalam kehidupan saya secara fizikal pada tahun ini, sama ada perubahan yang dirancang tak kurang juga yang mendatang tanpa dirancang. Namun, banyak azam saya yang tidak tercapai terutamanya dari segi peningkatan kualiti ibadah, akhlak dan ilmu. Apakah yang telah saya capai selama setahun. Apakah sumbangan saya pada agama dan masyarakat? Apakah yang telah saya lakukan sekian lama usia saya ini?

Betapalah pengislahan itu sebenarnya adalah proses, bukan destinasi. Proses yang berterusan tanpa henti sehingga berhentinya nafas kita. Tiada manusia yang bisa berada pada satu titik kehidupan dan menyatakan bahawa hidupnya telah cukup sempurna tanpa perlu berusaha lagi memperbaiki diri. Persoalannya, sejauh mana kita berusaha dalam proses pengislahan ini?

Saya sangat inginkan pembaikan diri demi mencapai redha Allah. Semoga pengislahan diri bermula dari saat ini, dengan niat diperbaharui setiap hari, dengan azam membara tanpa henti. Ya Allah, bantulah..

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya, sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya, dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya, sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu, maka aku memohon kepadaMu wahai Tuhan, wahai yang Maha Pemurah, wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepada-Mu wahai Yang Maha Pemurah.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihan-Mu yang besar dan kemurahan-Mu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dari-Mu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepada-Mu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia, Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

Sunday, November 29, 2009

MABUK CINTA HALAL

Cinta kami bukan lah cinta yang biasa-biasa, bukan juga luar biasa. Cinta ini baru sahaja berputik, lantas tumbuh subur selepas sah nya lafaz ijab kabul. Ia bersemi selepas kami saling menyerah kepercayaan untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri dan suami, selepas saya memberikan sepenuh cinta dan jiwa saya kepada suami setelah cinta saya pada Allah dan Rasul.

Bukan Cinta Biasa

Semasa tempoh bertunang, teman-teman kerap bertanya tentang hubungan cinta kami, saya biasanya akan tersenyum sahaja. Sukarnya memberi jawapan kerana kami tidak pernah ‘bercinta’ sebelumnya. Hubungan kami cuma diikat janji setia untuk saling menunggu sehingga tiba masa selayaknya mengikat perkahwinan. Tiada madah cinta menghiasi bicara, tiada SMS atau panggilan telefon melainkan benar-benar daruri, tidak pernah keluar berduaan walaupun sekali apatah lagi duduk berdekatan atau berpimpinan tangan.

Saya kerap dilontarkan pelbagai persoalan dan komen oleh teman-teman, antaranya:

“Did you two meet via matchmaking?”

“Pelik nya, dah bertunang pun tak dating….”

“Kenapa tak call tunang awak?”

Soalan-soalan dan komen tersebut membuat saya lucu, kadang-kadang sedikit segan dan serba salah. Selalunya saya menjawab soalan teman-teman dengan gurauan yang benar, “Saya nak bercinta selepas kahwin.” Teman-teman terdiam dan tersenyum menyambut jawapan saya. Mungkin ada yang menganggap saya kolot atau pelik, saya tidak peduli.

Pada mereka yang lebih mudah memahami, saya terangkan sebab-sebab saya tidak ‘bercinta’ sebelum berkahwin:

• Saya telah melihat banyak insan yang bercinta, dan saya menginsafi bahawa betapa besar biusan cinta yang mampu mengubah madu menjadi racun begitu juga sebaliknya. Yang lebih parah lagi jika cinta menjadi sebab manusia membelakangkan agama. Saya kira saya tidak kuat untuk menghadapi cabaran cinta ini, maka saya mengundur diri dari bercinta pada yang tidak halal.

• Saya sangat-sangat mendambakan cinta dan redha Allah dalam kehidupan saya yang tidak akan dapat saya raih jika saya tidak menjaga keberkatan dalam kehidupan saya. Mana mungkin rumahtangga yang saya harapkan menjadi syurga dunia dan akhirat saya dilimpahi keberkatan jika pada awalnya saya melanggar syariat-Nya.

• Saya malu pada diri jika saya gagal menjadi contoh yang baik kepada adik-adik yang saya didik dalam usrah. Saya berharap saya dapat mewujudkan contoh (biarpun bukan yang terbaik) untuk adik-adik dengan menjaga perhubungan kami sebaiknya.

Mabuk Cinta Halal

Saya tersenyum-senyum sendiri, membalas SMS suami selepas kami selamat diijabkabulkan. Meskipun sedikit malu pada mulanya, saya yakin melakukannya kerana Allah, penuh rasa bahagia, kerana saya telah pun halal baginya.

Sahabat saya, Shazni yang maklum tentang ‘kisah cinta’ ini mengusik saya yang dilamun cinta, “Huish..mabuk cinta halal…” Saya sangat tertarik dengan istilah baru ciptaan Shazni, tepat menggambarkan cinta kami tika ini.

Benar, manis sungguh bercinta selepas nikah. Kemanisan mencintai yang halal dan diredhai. Bercinta tanpa rasa takut, bimbang atau was-was kerana ianya adalah yang haq. Bercinta dengan penuh yakin bahawa itulah cinta yang diperintahkan Allah untuk dijagai dan disuburkan. Manisnya cinta ini lebih terasa kerana mujahadah menjauhi larangan Allah sebelum ijabkabul akhirnya diakhiri dengan ikatan yang suci lagi indah. Kemanisan ini mana mungkin bisa dirasai jika sebelumnya telah terbiasa melanggari hukum-Nya.

Benarlah firman Allah:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah Ar-Ruum: Ayat 21)

Mabuk cinta ini membahagiakan, namun saya hadapi penuh keinsafan bahawa manusia mentadbir sedangkan Allah lah yang mentaqdir. Kita merancang dan Allah jua sebaik-baik perancang. Pada usaha dan mujahadah sedikit ini dalam mencari cinta yang halal, saya menyerahkan sepenuhnya natijah pada Allah, penentu segala. Saya ingin cinta Allah tertinggi di hati kerana hanya dengan cinta-Nya dapat saya mencintai suami dengan cinta yang suci dan dengan cinta-Nya saja segala ujian akan dapat dihadapi. Semoga apa pun yang Allah tetapkan di hujungnya, adalah kebaikan semata buat saya dan suami.

Doa Seorang Pencinta

Tuhan, hamba tunduk merendah pada-Mu penuh yakin bahawa bahagia itu hanya datang dengan mencintai-Mu, maka jadikanlah saya dan suami sebagai orang yang mencintai-Mu.

Ya Allah, jadikanlah hamba-Mu ini mencintai orang yang beriman, dan jadikanlah orang yang beriman menyintaiku. Jadikanlah cinta-Mu dan cinta Rasul-Mu sebagai cinta yang menunjangi cinta kami dari awal hingga akhir. Jadikanlah cinta kami ini cinta yang Kau redhai ya Allah. Jadikanlah cinta ini cinta yang menambahkan cinta kami pada-Mu dan Rasul-Mu. Jadikanlah cinta ini sebagai penguat semangat kami untuk berjuang di jalan-Mu. Jadikanlah cinta kami kekal hingga ke syurga-Mu. Amin...

Thursday, November 19, 2009

Doa Seorang Kekasih

Oh Tuhan, seandainya telah Kau catatkan
Dia milikku, tercipta untuk diriku
Satukanlah hatinya dengan hatiku
Titipkanlah kebahagiaan

Ya Allah, ku mohon
Apa yang telah Kau takdirkan
Ku harap dia adalah yang terbaik buatku
Kerana Engkau tahu segala isi hatiku
Pelihara daku dari kemurkaan-Mu

Ya Tuhanku, yang Maha Pemurah
Beri kekuatan jua harapan
Membina diri yang lesu tak bermaya
Semaikan setulus kasih di jiwa

Ku pasrah kepada-Mu
Kurniakanlah aku
Pasangan yang beriman
Bisa menemani aku
Supaya ku dan dia
Dapat melayar bahtera
Ke muara cinta yang Engkau redhai

Ya Tuhanku, yang Maha Pengasih
Engkau sahaja pemeliharaku
Dengarkan rintihan hamba-Mu ini
Jangan Engkau biarkan ku sendiri

Agarku bisa bahagia
Walau tanpa bersamanya
Gantikanlah yang hilang
Tumbuhkan yang telah patah
Ku inginkan bahagia
Di dunia dan akhirat
Pada-Mu Tuhan ku mohon segala

Wednesday, November 11, 2009

The words that touched me today

Bekerja sebagai kakitangan perubatan, kadang-kadang terpaksa berdepan dengan situasi kerosakan peralatan yang akibatnya mendatangkan kesukaran dalam siasatan dan rawatan pesakit. Saya dan rakan sekerja kadang-kadang terpaksa menekan pihak yang bertanggungjawab memperbaiki, mohon diuruskan segera untuk kemaslahatan pesakit. Dalam masa yang sama, juga terpaksa menyantuni kekangan yang dihadapi pihak berkenaan untuk menyelesaikan masalah yang bukan sahaja memerlukan kepakaran, malah melibatkan kos yang bukan sedikit.

Kadang-kadang merungut juga dengan kelambatan kerana kasihan pada pesakit yang terpaksa menggunakan alternatif lain untuk mendapatkan rawatan yang sebaiknya. Kami jadi tersepit dengan keadaan; antara kesukaran pesakit yang perlu disimpati dengan situasi pihak bertanggungjawab yang payah untuk ditangani.

Pagi tadi saya didatangi seorang teman yang juga staf saya yang melahirkan kerisauannya tentang mesin X-ray yang rosak sehingga kami terpaksa menghantar pesakit untuk menjalani X-ray di pusat kesihatan yang jaraknya sejam perjalanan dari Hospital kami. Sudahlah pesakit terpaksa bergerak jauh, kadang-kadang dengan kenderaan sendiri, kualiti filem pun kadang-kadang tidak memuaskan. Kami berbincang, memikirkan jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah tersebut.

"Saya bukan nya apa doktor, takut di akhirat kelak disoal Allah jika hak-hak pesakit tidak ditunaikan," bicara teman itu menusuk ke hati saya, rasa sedih, malu dan takut.

Aduh, saya terfikir, selalunya saya lebih concern dengan kesusahan dan aduan pesakit, tapi jarang sekali berfikir bagaimana saya akan berdepan dengan Allah jika tugas saya tidak diselesaikan sebaiknya. Sepatutnya, quality survey Allah lah yang lebih penting untuk diambil peduli, kerana jika ianya baik, pasti hak pesakit terjaga. Terima kasih ya Allah, kerana mengetuk hati saya dengan sepatah ayat ringkas dari hamba-Mu yang besar jiwanya itu.

Menjelang petang, hasil daripada perbincangan bersama rakan sekerja, saya temui jalan keluar dari kesulitan itu. Langkah pertama sudah diatur, semoga Allah memudahkan jalan-Nya. Kadang-kadang Allah menguji dengan kerosakan untuk melihat sejauh mana kita berusaha melakukan pembaikan. Saya berdoa biarlah segala pembaikan yang saya mulakan, adalah kerana-Nya semata, demi kebaikan pesakit-pesakit saya. Semoga saya sentiasa memulai jua mengakhiri hari-hari saya dengan niat yang suci, bekerja kerana Allah.

Saturday, November 07, 2009

Marah lah...

Sebulan yang lepas, bandar tempat saya bekerja dihebohkan dengan isu sekumpulan pelajar sekolah menengah yang beragama Kristian merakam aksi kurang sopan meniru gerak geri solat orang Islam di dalam gereja. Saya terkedu mendengar kisah nya pertama kali, saya lapangkan dada dahulu, baru berani untuk menonton video tersebut melalui telefon bimbit rakan saya.

Kurang ajar - mungkin ini reaksi sebahagian besar umat Islam yang menonton aksi tersebut buat pertama kali. Kes tersebut telah dilaporkan ke pihak berkuasa tempatan (JAIS dan polis), diselesaikan di peringkat bahagian, dan dilaporkan ke pihak atasan. Pelajar-pelajar yang terlibat telah pun menerima hukuman di peringkat sekolah dan juga kaunseling.

Saya marah, juga kesal, namun saya serahkan pada pihak berwajib untuk menanganinya. Saya kira mereka telah diberi pengajaran dan isu tersebut telah selesai. Tetapi, tiba-tiba seorang teman yang tinggal di Kuching bertanyakan tentang kes tersebut terhadap saya dan memberikan link kepada laman Youtube nya. Saya terkejut, tidak menyangka bahawa isu tersebut telah tersebar ke tahap itu.

Apabila melayari video tersebut di Youtube, pening kepala saya membaca kemarahan, carutan, cacian juga ugutan yang dipaparkan pada ruangan komen, rata-rata dari umat Islam sendiri. Sungguh, saya rasa lega kerana masih ada rasa sensitiviti umat Islam terhadap isu tersebut - marah pada kemungkaran tandanya ada rasa sayang pada agama, tanda masih ada iman di dada.

Benarkah marah itu kerana iman dan cinta atau lantaran nafsu semata? Benarkah marah kita jika kita marah bila agama kita dipersenda sedang kita sendiri mempersenda agama dengan tidak beramal dengan rukun nya? Benarkah marah kita jika kita mengetepikan akhlak dengan menyumpah seranah serta mempersenda kembali orang lain.

Islam tidak akan jatuh hanya dengan sendaan dan cacian orang yang mencerca. Tetapi, Islam bisa jatuh jika kita sendiri menjauhi ajaran nya, memuja-muja hedonisme, memandang enteng amar makruf nahi mungkar serta mempersendakan dakwah.

Marahlah demi agama, tetapi dalam masa yang sama hendaklah kita berusaha beramal dengan nya. Marahlah demi agama, tetapi jangan sampai kemarahan kita menonjolkan keburukan tingkahlaku kita. Marahlah demi agama, dan dalam masa yang sama mari kita tegakkan syiarnya.

Saya ingin berkongsi artikel yang dipetik dari sebuah blog, yang ada kaitan dekat dengan isu tersebut:

DEMONTRASI MELALUI SOLAT SUBUH BERJEMAAH

Oleh: Ustaz Pahrol Md Juoi (genta-rasa.com)

Dalam buku Misteri Solat Subuh karangan Dr. Raghib As Sirjani menukilkan, “Pernah salah seorang penguasa Yahudi menyatakan bahawa mereka tidak takut dengan orang Islam kecuali satu hal berlaku yakni bila jumlah jemaah solat Subuh menyamai jumlah jemaah solat Jumaat.”

Atas dasar apa dia berkata demikian, tidak pula dinyatakan secara pasti. Namun jika kita sendiri melihat situasi ini lebih dekat, ada logik dan kebenarannya.

Pada tahun 80’an, sewaktu masih menuntut di universiti, terjadi satu tragedi besar dalam dunia Islam. Tentera Soviet Union (yang belum berpecah seperti sekarang) telah menyerang Afghanistan. Pada ketika itu Nur Muhammad Taraki, Babrak Karmal (seingat saya) dan lain-lain tali barut komunis telah menjadi musuh yang “menjemput” tentera Rusia menjajah Tanah Air mereka sendiri. Pelajar-pelajar Islam di universiti tempatan ketika itu telah bangun melancarkan demonstrasi.

Saya masih ingat bagaimana ucapan berapi-api daripada para pemimpin pelajar ketika itu telah membakar emosi dan menimbulkan rasa marah yang amat sangat kepada Komunis Rusia. Bendera Soviet, patung Breznev dan Babrak Karmal telah dibakar. Ucapan yang berapi-api telah disambut oleh jeritan, “Allah hu Akbar! Allah hu Akbar!” telah bergegar di padang tempat kami melakukan tunjuk perasaan.

Rasa-rasanya, kalau dilihat pada semangat yang memuncak, bagaikan semua telah bersedia untuk dihantar ke Afghanistan untuk membantu Mujahidin (waktu itu belum ada Taliban) bagi melancarkan jihad. Bilangan pelajar Islam yang berdemonstrasi saya rasa hampir mencecah ribuan orang.

Keesokan harinya, sewaktu solat Subuh di surau kolej kediaman, saya dapati hanya beberapa kerat pelajar yang datang untuk solat berjemaah. Sangat minoriti, tidak sampai satu saf pun. Ke mana perginya mereka yang bersemangat berapi-api semalam? Tidak ada laungan Allah hu Akbar lagi sekalipun untuk sekadar bertakbiratul Ihram. Dan paling aneh, para pemimpin pelajar yang hebat berpidato itu pun tidak muncul-muncul.

Cuba fikirkan mengapa terjadi demikian? Akan gerunkah musuh Islam kepada umat yang tidak solat Subuh berjemaah ataupun tidak bangun Subuh langsung? Pada hal demonstrasi hakiki yang benar-benar menggerunkan musuh (berdasarkan pengakuan penguasa Yahudi sendiri) ialah solat Subuh secara berjemaah yang dilakukan oleh majoriti umat Islam.

Tidak salah membakar bendera negara yang menzalimi umat Islam, tetapi alangkah baiknya jika kita terlebih dahulu “membakar” selimut syaitan yang menghalang kita bangun untuk solat Subuh berjemaah? Tidak salah bertempik dan bertakbir bagi menunjukkan kemarahan kita terhadap musuh Islam, tetapi alangkah baiknya jika suara itu digunakan juga untuk bertabiratul Ihram dalam solat Subuh secara berjemaah?

Hemm, mampukah orang yang “liat” bangun Subuh berjemaah demi cintanya kepada Allah berangkat ke medan jihad untuk memerangi musuh Allah??

Ada tokoh yang hebat yang begitu menarik kata dan ucapannya tentang Islam… begitu indah, bersemangat dan menyentuh. Tetapi apakah ertinya jika dia melazimi tidak hadir ke masjid untuk berjemaah Subuh? Atau figur ekonomi Islam yang berjaya membentang segala perancangan dan strategi muamalat Islam tetapi liat melangkah kaki menyertai solat Subuh berjemaah. Atau seorang yang begitu menonjol sekali dalam melahirkan produk-produk serta perkhidmatan Islam, tetapi hanya “kadang-kadang” dan “jarang-jarang” menyertai solat berjemaah Isyak dan Subuh!

Marilah kita renungi dua hadis ini:

1. Rasulullah saw telah bersabda:
“Barangsiapa yang solat Isyak berjemaah maka seakan-akan dia telah solat separuh malam. Dan barang siapa solat Subuh berjemaah (atau dengan solat Isyak seperti yang tertera dalam hadis Abu Daud dan Tirmizi) maka seakan-akan dia telah melaksanakan solat malam semalam penuh.” (HR Muslim).

2. Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya dua solat ini (Subuh dan Isyak) adalah solat yang berat bagi orang munafik. Sesungguhnya, apabila mereka mengetahui apa yang ada dalam solat Subuh dan Isyak, maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” (HR Ahmad dan

Tuesday, October 27, 2009

Lihatlah ia Sebagai Amanah Allah

Berat rasanya memikul amanah, namun terpaksa juga untuk ku galas. Memikirkan banyaknya tugasan menanti di depan, hati kadang-kadang rasa terbeban. Jiwaku kerap berkeluh-kesah, mulut pula merungut susah. Tetapi bila menginsafi akan sedikitnya baktiku, hati pula merasa malu. Jasaku terlalu sedikit untuk ku ungkit, sedang tanggungjawabku besar menuntut sabar.

Mujur lontaran semangat dari penyejuk hatiku, si Ibu, memadam rasa kesah yang terpendam. “Jangan tension, banyak bersabar, sebut Subhanallah....” lunak suara Mak memadam resah, melembut jiwa lewat bicara dengannya melalui telefon. Mak seperti biasa, selalu positif dengan perkara yang ku pandang negatif, selalu meraikan pada apa yang kulihat sebagai ujian, selalu memotivasi pada apa yang melemahkan semangat ini. Adik-adik dan kakak bergurau sambil mengucap ‘tahniah’, meraikan amanah ini sebagai medan mencari pengalaman.

Teman-teman setia pendengar rintihan, walaupun di kejauhan, meniup semangat lewat bualan di alam maya. “Allah tidak membebani seseorang melainkan Dia tahu kita mampu memikulnya.” Terima kasih ya Shazni, Nurul dan Hamas.

Mujur juga ada rakan sekerja senior yang sabar mendidik walaupun masa sering ‘diganggu’ dengan soalan-soalan remeh, juga panggilan telefon bertanyakan banyak perkara tanpa mengira masa. Melihat telatahku yang gelabah, dia menenangkan dengan gurauan. Mengubat hati dengan berkongsi pengalaman.

Aku mengakui, masih banyak kurangnya diri, masih banyak yang perlu dipelajari. Taklif yang diberi perlu ku terima sepenuh hati. Melihatnya sebagai suatu amanah dari Allah, aku harus memikulnya penuh tabah. Apa yang ku tanggung terlalu sedikit dibandingkan perjuangan para kekasih-Nya. Sungguh, aku rasa diriku terlalu kecil. Aku memujuk diri lagi, inilah juga masaku aplikasi pengalaman yang telah ku pelajari semasa berpersatuan dulu untuk membantu dalam tugasanku.

Ya, aku perlu ikhlas seikhlasnya..kerana hanya itu cara nya untuk ku pegang amanah tanpa rasa terbeban. Aku perlu simpati dan kasih sayang, agar dapat ku fahami masalah orang lain. Aku perlu tegas dan teguh dengan prinsipku, supaya tiada yang ambil kesempatan dengan kelembutanku. Aku perlu bijaksana membuat keputusan, agar tiada pihak yang jadi mangsa kezaliman.

Pada awal jua akhirnya, aku perlukan Allah untuk membantu ku. Aku terlalu lemah, dan tiada siapa pun yang dapat menolongku kecuali Allah. Maka, aku sangat sangat perlu akan pimpinan, petunjuk serta taufiq dari-Nya.

Tuhan, kerja-Mu penuh rahsia...dalam pahit yang kami depani, Kau limpahkan manis di hujungnya menanti... dalam sukar mendepan mehnah, Kau ada menghampar mudah, kami hamba lemah mentadbir, sedang Kau Maha Gagah mentaqdir...jadikanlah kami selalu rendah hati di sisi Tinggi nya Kekuasaan-Mu, namun tak putus asa berusaha mencapai yang terbaik kerana-Mu...Amin...

Friday, October 23, 2009

Kenapa Perlu Berkahwin?

Dipetik dari: http://jomfaham.blogspot.com/2009/10/mengapa-perlu-berkahwin.html

1. Aku tidak mahu berkahwin!, Aku bosan dengan orang lelaki yang berhidung belang! Lelaki sekarang hanya mahu kepuasan nafsu sahaja tapi tidak reti untuk membimbing! Nak jadi imam pun tak tahu.. Solat jauh sekali!!

2. Buat ape aku perlu berkahwin? aku dah ada kerjaya sendiri. Hidup aku lebih aman damai, tak perlu ribut tentang anak-anak. Aku enjoy dengan kehidupan sekarang nih.

3. Saya takutlah nak berkahwin, tak bersedia, nanti banyak sangat komitmen..

4. Mampukah saya menjadi isteri/suami yang baik?.. Berkahwin bukan untuk bercerai..

*****

Mungkin kita pernah mendengar pernyataan di atas yang berbentuk luahan hati dan perasaan dari sahabat kita atau orang yang pernah merasakan kepahitan hidup akibat dari latarbelakang keluarga yang tidak harmoni. Bahkan juga dari mereka yang takut dan risau memberikan komitmen dalam perkahwinan.

Zaman ini, menunjukkan ramainya mereka yang bekerjaya profesional, hidup mewah tidak mahu berkahwin. Terutamanya apabila yang sudah mempunyai pendapatan tetap sendiri, dirasanya hidup tidak perlu kehadiran orang lelaki/perempuan..

Mengapa Perlu Berkahwin ?

Persoalan di atas adalah soal pokok terutamanya mereka yang akan berkahwin, 'bercouple', dan juga kepada mereka yang tidak mahu berkahwin samada takut, risau, serta alasan yang lain. (Kecuali mereka yang mempunyai penyakit yang boleh mendatangkan bahaya atau kecacatan kepada pasangan seperti HIV, AIDS, sopak dan kusta. Serta mereka yang mempunyai sikap yang jahat, tidak mahu/mampu memberi nafkah kepada isteri, mahu mendera dan membalas dendam ke atas isteri/suami).

Perkahwinan sebenarnya adalah untuk menyahut seruan fitrah manusia yang telah difitrahkan oleh ALlah. Manusia mempunyai keinginan dan kehendak terutamnya di dalam persoalan seksual. Islam telah menetapkan jalan di mana perkahwinan sahajalah yang menjadi penyelesai masalah bagi memenuhi tuntutan tersebut.

Dari Abi Samrah r.a menyatakan :

Nabi melarang daripada hidup membujang.

(Riwayat at Tirmidzi dalam kitab perkahwinan, bab meninggalkan perkahwinan).

Saad bin Abi Waqqas r.a berkata :

"RasuluLLah telah menolak permohonan Osman bin Maz'un untuk hidup membujang. Kalaulah RasuluLlah membenarkannya nescaya kami akan mengembiri.

(Riwayat Muslim dlam Kitab Nikah, bab sunat berkahwinan bagi sesiapa yang berkeinginan, nombor 1402).

Di zaman ini, lihatlah, terdapat antara kita yang mempunyai keinginan tetapi disalurkan di jalan yang dimurkai ALLah. Ada yang menolak perkahwinan tetapi mereka tidak dapat membendung keinginan serta menjauhkan diri dari fitnah terhadap lelaki dan wanita. Ia sendiri tidak dapat menjaga diri dari anasir yang tidak elok. Akhirnya ada yang telah menghampiri kepada zina serta menjerumuskan diri di dalamnya. Anak-anak luar nikah dikandungnya, ada yang dibunuh, dibuang, dan juga dibela.

Ada juga yang mengatakan ingin sahaja membela anak angkat. Sayangnya di dalam Islam, anak angkat tidak pula dibolehkan mewarisi hartanya. Di masa tua pula, ia tetap juga merasa kesepian dan kelainan disebabkan anak yang dibela sejak kecil tetap bukan anak dari darah dagingnya sendiri.

Perkahwinan untuk melahirkan keturunan yang soleh dan berkualiti

Sabda RasuluLLah s.a.w yang bererti :

"Kahwinilah perempuan yang pengasih dan mampu melahirkan ramai anak kerana aku berbangga dengan umatku yang ramai pada hari kiamat.

(Riwayat Abu Daud dalam sunannya : KItab nikah, bab larangan daripada menikahi perempuan yang tidak boleh melahirkan anak, nombor 2050; An Nasai dalam kitab nikah, bab makruh mengahwini perempuan mandul, nombor 65/6)

Dengan jalan yang halal ini, maka ia dapat membentuk institusi kekeluargaan sekaligus institusi masyarakat Islam yang dipenuhi dengan generasi yang berkualiti. Jauh bezanya dengan anak yang lahir dari perbuatan zina. Mereka adalah generasi yang terbuang yang tidak mengenali sama sekali siapakah ibu dan ayah mereka. Mereka lahir dalam keadaan jiwa yang membenci dan dendam kepada kedua orang tuanya, masyarakat sekeliling dan manusia keseluruhannya.

Jiwa tenang dengan jalan pernikahan

Perkahwinan yang halal akan menghasilkan ketenangan dan ketenteraman. Firman ALLah ta'ala yang bererti :

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki,) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir".

(Ar Rum :21)

Berapa ramai manusia yang menolak perkahwinan fikiran dan hatinya tidak berasa tenang, tiada teman untuk dikongsi masalah? Tidak dapat merasakan hubungan halal antara lelaki dan wanita melalui jalan perkahwinan? Fikiran sentiasa runsing dengan masalah-masalah yang tidak terluah yang mengegarkan jiwa dan fikiran, perasaannya tertekan, kemurungan lalu membawa kepada perasaan malu dan pesimis.

Perkahwinan meluaskan persaudaraaan dan membina prinsip kerjasama.

Sebelum perkahwinan - kita akan fikir untuk hidup buat diri sendiri sahaja. Kurang bertanggungjawab dan kematangan dalam pengurusan hidup. Solat bersendirian, berdoa, tawa dan tangis juga berseorangan.

Sebelum berkahwin - tidak banyak ilmu yang ditimba untuk menjadikan diri sebagai individu Muslim yang dapat menjalankan tugas sebagai khalifah yang lebih sempurna. Kita tidak kenal istilah suami dan isteri, ibu dan bapa serta anak. Tidak juga mengetahui apa itu munakahat yang menyentuh tentang bab kekeluargaan seperti talaq, khuluq, hadonah (hak penjagaan anak), aqiqah dan sebagainya. Maka dengan jalan perkahwinan menjadikan diri bersiap sedia dengan ilmu untuk menguruskan sebuah keluarga. Seorang suami sebagai imam solat dan pemimpin, isteri sebagai teman dan pendokong kepada suaminya di kala susah dan senang.

Isteri akan membantu suami di dalam urusan seharian, makan pakainya, tempat tinggal dan anak-anak. Suami pula akan bersama di dalam mencari rezeki yang halal, mempertahankan, melindungi dan memelihara kehormatan isteri.

Dengan jalan halal yang telah digariskan oleh Islam, daerah persaudaraan akan semakin meluas. Saling kenal mengenali antara sesama dua keluarga yang telah disatukan di atas jalan ini. Ia akan melahirkan suatu ikatan baru dan saling berkasih sayang antara satu dengan yang lain.

Carilah saluran yang halal, dengan jalan perkahwinan dapat menjamin kesejahteraan masyarakat, menyebarkan kebaikan, penjagaan akhlak serta pengekalan keturunan manusia.

"Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu, dan orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, ALLah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana ALlah amat luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya), lagi amat mengetahui".

(An Nur : 32)

Saturday, October 10, 2009

Teruji?

“Doctor, I want to refer a case. A male, age around 30, found unconscious after drinking poison. He doesn’t look good,” seorang Pembantu Perubatan dari Klinik Kesihatan berdekatan merujuk melalui telefon tepat jam 12 malam. Saya mendengus sejurus meletakkan telefon, geram hati saya dengan orang yang melakukan perkara bodoh: cubaan membunuh diri.

Pesakit yang dirujuk tersebut tiba selepas 20 minit, dalam keadaan lemah. Alhamdulillah, tanda-tanda penting pesakit stabil. Sejurus selepas rawatan kecemasan diberikan, pesakit sedarkan diri, namun masih kelihatan lemah. Rasa geram berubah menjadi kasihan pula melihatnya. Wajahnya sedih, tanpa cahaya. Menurutnya dia minum racun kerana ingin lari dari masalahnya. Apa saja masalahnya, pasti terlalu berat pada bahunya hingga dia mengambil keputusan bertindak sejauh itu.

Siapakah yang tidak pernah dibelenggu kesedihan, tekanan, kekecewaan. Yang bernama manusia pasti tidak putus dari dilanda ujian. Ujian yang datang dalam pelbagai bentuk:
“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.” (Al-Baqorah: Ayat 155)

Sebahagian besar kes cubaan membunuh diri yang saya temui adalah kerana masalah hubungan cinta; lelaki yang kecewa kerana ditinggalkan isteri yang curang, gadis yang memberontak kerana cinta terhalang, wanita yang pedih kerana hadir insan ketiga. Ada pula yang tidak tahan tekanan kerjaya atau masalah keluarga. Sesetengahnya pula, ingin lari dari belenggu hutang dan masalah kewangan.

Sesiapa yang pernah teruji pasti mengerti perit pedihnya hati menghadapi. Betapa sakit jiwa dan terbeban perasaan melalui. Betapa hidup terasa hilang nikmat dan terasa ingin sekali melarikan diri. Betapa buntu fikiran juga tindakan untuk mengatasi.

Saya sering tertanya-tanya pada diri, cuba meletakkan diri pada tempat si penderita, apakah rasa hati saya jika diuji perkara yang sama. Apakah saya mampu sabar atau akan bertindak yang bukan-bukan. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Namun, adakah membunuh diri membawa penyelesaian? Apakah ujian cukup berat sehingga berbaloi untuk menamatkan kehidupan? Apakah tiada lagi di sudut dunia ini jalan penyelesaian?

Saya ingin memetik isi buku Jangan Bersedih (La Tahzan) karya Dr Aidh bin Abdullah Al-Qarni bab ke 63:

Jangan bersedih, kerana di sana masih banyak jalan meringankan musibah:

1. Menunggu pahala dan ganjaran dari Allah:
“...Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Az-Zumar: Ayat 10)

2. Melihat kepada orang lain yang mendapat musibah.
Kalau saja tidak ku lihat
esak tangis orang
yang ditimpa musibah di sekitarku
tentu telah kubunuh diriku

3. Yakin bahawa musibah yang menimpa diri anda itu jauh lebih ringan dibandingkan dengan yang menimpa orang lain.

4. Yakinlah bahawa musibah yang anda deritai itu berkaitan dengan dunia sahaja, bukan berkaitan dengan agama.

5. Yakinlah bahawa ubudiyah yang dilaksanakan dengan khusyu’ ketika sedang mengalami tekanan terkadang lebih besar nilainya jika dibandingkan dengan yang dilakukan pada saat-saat mengalami kebahagiaan.

6. Janganlah melakukan tipu muslihat.
Tinggalkanlah tipu muslihat
Untuk mengubah bencana
Hancurnya tipu muslihat
Adalah dengan meninggalkannya

7. Sedarlah bahawa pilihan Allah adalah yang terbaik.

Wahai diri, duhai teman, apa sahaja yang menimpa, kembalilah kepada Pencipta. Yakinilah, di setiap dugaan pasti ada jalan kebahagiaan. Hidup tidak tercipta penuh kesenangan, tetapi diliputi ujian untuk dihadapi dengan kesabaran. Tetapi di hujungnya telah dijanjikan kemanisan.

“Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun.” (Al-Baqorah: Ayat 156)

Sunday, October 04, 2009

Sudah Gaharu Cendana Pula

"Aku makan ubat sampei limak macam tapi masih juak badan ku rasa sik sehat. Apa kenak kah owh?" Makcik saya mengadu sambil tangannya mengeluarkan kotak rokok dari beg tangannya. Saya sekeluarga menziarahi Makcik pada hari raya pertama apabila mendengar khabar yang Makcik kurang sihat. Makcik menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis. Alhamdulillah, sampai di rumahnya Makcik nampak biasa-biasa sahaja.

"Kitak merokok ne lah badan kitak nak sihat Su," berani saya memberi pendapat sambil tersengih. Makcik tersengih kembali, sedar akan silapnya. Tangannya terhenti dari mengambil pemetik api. Saya tersenyum, malas hendak mengulas panjang, takut dikatakan kurang ajar atau menunjuk pandai.

"Aku nangga kotak rokok nak ada gambar kanser di tengkuk ya takut ku nak merokok. Last-last suruh ku anak ku meli rokok lain nak sekda gambar ya," sambungnya lagi. Saya tersengih lagi sambil menggeleng-geleng kepala.

"Sama juak ya Su, ada gambar kah sekda kah, kesannya sama jak, tetap juak rokok ya bahaya," saya menjawab ringkas. Makcik saya gelak kecil, akhirnya menyelitkan rokok di bibirnya dan menyalakan api. Geram hati saya tahan dalam senyum.

Sebelum beredar sambil menghulur 'duit raya' saya menyalami tangan Makcik sambil mengucupinya. "Duit tok jangan pakei meli rokok, sik berkat kelak," saya tersenyum sambil menepuk pahanya. Mak Cik angguk-angguk senyum.

"Aku dah madah apa nok patut dipadah, selebihnya terserah pada kitak lah Su. Sama kah orang yang tahu dengan yang tidak tahu, atau orang yang beramal dengan yang tidak beramal?" bisik hati ku.

Saturday, October 03, 2009

Hadiah Harijadi Yang Bermakna

Tafsir Qur'an Per Kata, Dilengkapi dengan Asbabun Nuzul dan Terjemah...diterima pada tanggal 26 September 2009, dikucup penuh kesyukuran.
Terima kasih buat Sis Zakiah atas pemberian yang menggembirakan dan bermakna ini. Semoga diri makin dekat dengan Al-Quran dan semakin mudah memahami bahasa Al-Quran. Jazakillahu khoiran kathira.

Saturday, September 12, 2009

Selamat Pendek Umur (Nota Hati Seorang Lelaki)

Sedang menghadam "Nota Hati Seorang Lelaki" tulisan Ustaz Pahrol Md Juoi (genta-rasa.com). Ingin berkongsi salah satu daripada isi yang bermakna dalam buku ini. Semoga beroleh manfaat dan kebaikan.

SELAMAT PENDEK UMUR

“Selamat pendek umur,” saya bergurau.
Sahabat saya agak tersentak, namun tetap senyum. Dia faham, saya hanya bergurau.
“Kenapa pula?” tanyanya. Dia kelihatan ceria. Hari ini ulang tahun hari kelahirannya. Saya meraikan dia dengan belanja makan di restoran berhampiran tempat kami bekerja.
“Yalah… bukankah tarikh mati telah Allah tetapkan di dalam rahim ibu lagi. Ertinya, semakin hari, semakin dekat langkah kita menuju ketetapan itu…”
“Makna, semakin hari semakin pendeklah umur kita?” tingkahnya penuh pengertian.
“Ya, hari ini setapak lagi kita dekat dengan kematian.”

“Pelik, selalunya bila hari lahir orang bercakap tentang hidup. Tentang kejayaan. Tentang pencapaian. Sekarang kita bercakap tentang kematian pula.”
“Siapa yang tidak bercakap tentang mati akan ‘mati’,” balas saya.
“Kenapa pula?”
“Hukama berkata, barangsiapa yang tidak tahu untuk apa dia akan mati, maka dia tidak layak hidup!”
“Untuk apa kita mati?”
“Untuk hidup…” kilas saya lagi, sekadar bermain kata, bersilat bahasa untuk meninggikan makna.
Dia diam. Menung dan alam fikirnya telah terusik barangkali.

“Mati untuk hidup?”
“Ya, mati bukanlah suatu pengakhiran tetapi hanya satu permulaan…”
“Satu permulaan? Maksud kau?”
“Mati adalah satu permulaan kepada hidup yang tidak mati-mati lagi – alam akhirat. Kau masih ingat kata-kata Umar Ibn Aziz yang aku sering ungkapkan dulu?”
“Hampir terlupa. Waktu di kampus dulu?”
“Umar berkata, manusia diciptakan untuk hidup selamanya. Hidup selepas mati itulah hidup yang hakiki!”
Terkesima dia. Jari-jarinya mula mengetuk-ngetuk meja. Perlahan. Tetapi saya yakin gerakan mindanya makin laju. Dia biasa begitu.

“Jadi, hidup ini untuk mati dan mati itu untuk hidup?”
Wah, saya pula yang terkejut mendengar liuk lentuk bahasanya. Berputar-putar seputar maknanya.
“Ya. Hidup di sini, di dunia ini, adalah tanaman untuk tuaian pada hidup di sana, di akhirat. Itulah tujuan hidup yang fana ini, demi kelangsungan hidup yang baqa itu. ”
“Jika demikian apa ada pada umur?”
“Umur hanyalah putaran surya, purnama dan buana yang dilakarkan oleh jarum jam, minit dan saat sebuah arlogi,” balas saya. Seronok sekali-sekala, berbual dengan bahasa berbunga di sulam kosa kata yang yang berputik dan berbuah.

“Maksudnya kita abadi?”
“ya, tapi bukan abadi seperti Khalik yang tidak ada permulaan dan tidak ada pengakhiran. Kita tetap makhluk.”
“Jika demikian, umur itu relatif juga kan?”
“Ya, kan Enstein pun fahamnya begitu? Masih ingat Teori Relativiti masa?”
“Panjang dan pendek umur bukan pada kuantiti tapi pada kualiti.”
“Juga bukan pada yang zahir tapi juga yang maknawi.”
Semakin rencam perbincangan kami. Tidak mengapa, sekali-sekala apa salahnya… berfalsafah kekadang lebih indah.

“Imam Nawawi, pendek umurnya tetapi ‘panjang’ ilmu dan abadi jasanya. Imam Safie, Imam Ghazali… tidak sempat pencen istilah orang sekarang, namun impak perjuangannya melangkaui dekad dan abad,” tambahnya memberi contoh.
“Umar ibn Aziz memerintah hanya kurang lebih 2 tahun sahaja tetapi keunggulannya mengatasi khalifah Umayyah sebelum dan selepasnya,” sambungnya lagi.
“Rupa-rupanya petua nak panjangkan umur ialah dengan panjangkan amal, panjangkan ilmu, panjangkan jasa,” kata saya seakan merumuskan.
“Harta boleh panjangkan umur… sedekah atau wakafkan, jadilah amal jariah. Pahalanya berterusan. Akhlak boleh panjangkan umur… hubungi silahturrahim, panjanglah umur kita. Demikian maksud hadis.”

“Apakah rahsia kejayaan orang-orang yang ‘panjang’ umur itu?”
“Mereka sedar tentang tujuan! Mereka adalah peribadi yang sentiasa sedar akan tujuan segala sesuatu . Mereka tahu tujuan hidup, mereka tahu tujuan mati. Mereka mencari tujuan pada setiap tindakan.”
“Hasilnya?”
“Dunia sentiasa menyediakan jalan kepada orang yang punya tujuan. When there is wiill, the is a way!.”
“Tapi kita bukan mereka?”
“Betul. Tapi itu bukan kelemahan, bahkan satu kekuatan. Setiap kita adalah unik. Tuhan tidak ciptakan manusia bodoh, tetapi Dia mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza.”
“Kita lebih bijak daripada mereka?”
”Ya, di sudut-sudut tertentu. Seorang pemandu lebih bijak daripada seorang profesor dari segi pemanduan kereta.”

“Tetapi keintlektualan lebih berharga daripada kebolehan memandu kereta. Profesor lebih berharga daripada seorang ‘driver’. Gaji mereka lebih tinggi”
“Maksudnya, umur seorang profesor lebih ‘panjang’ berbanding seorang driver? Maksud kau begitu?”
“Perbezaan itu bukan perbezaan taraf, tetapi perbezaan jalan. Jalan untuk seorang driver menjadi hamba Allah berbeza dengan jalan seorang profesor. Itu sahaja.”
“Kau tidak mengiktiraf derjat orang berilmu?”
“Tidak begitu. Orang berilmu memang dilebihkan beberapa derjat… tapi dengan syarat, mereka takutkan Allah. Kan itu takrif sebenar seorang ulama?”
“Maksudnya?”
“Seorang driver yang takutkan Allah lebih tinggi derjatnya daripada seorang profesor yang tidak takutkan Allah. Tetapi sekiranya kedua-duanya takutkan Allah, tentu sahaja ‘umur’ profesor itu lebih panjang daripada umur seorang driver lantaran ilmu dan amalanya yang lebih tinggi dan berharga!”

“Ah, surah Al Baqarah menukilkan seorang yang mati di jalan Allah hakikatnya terus hidup… Syuhadak mendapat pahala dan kurnia berterusan daripada Allah. Jadi, satu petua lagi untuk panjang umur ialah mati syahid,” ujar saya mengalih arus perbualan.
“Benarlah kata ahli sejarah, para sahabat Rasulullah itu hidup kerana mereka mencintai mati. Dan generasi hari ini ‘mati’ kerana mencintai hidup.”
“Wah, terlalu panjang perbualan kita petang ini. Apapun aku ingin mengucapkan ‘selamat panjang umur’ sempena hari lahir kau yang ke 40 tahun hari ini,” pintas saya sambil bangun. Jam telah menunjukkan pukul 6 petang. Hari semakin pendek.
“Eh, tadi kau kata ‘selamat pendek umur’, sekarang dah bertukar balik seperti ucapan biasa yang aku dengar… selamat panjang umur?” tanya hairan.
“Eh, kau lupa agaknya. Maksud ‘panjang umur’ ku berbeza dari biasa. Maksudku, selamat menambah ilmu, selamat menambah amal, selamat mengeratkan silahturrahim, srlamat menambahkan sedekah, selamat menambahkan rasa takut kepada Allah. Ya, itulah. Itulah maksudku selamat panjang umur!”